Morbidelli naib juara MotoGP 2020

Morbidelli menamatkan musim MotoGP 2020 sebagai naib juara setelah menduduki tempat ketiga pada Grand Prix Portugal di Litar Portimao di Portugal semalam.
Morbidelli menamatkan musim MotoGP 2020 sebagai naib juara setelah menduduki tempat ketiga pada Grand Prix Portugal di Litar Portimao di Portugal semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli menamatkan musim MotoGP 2020 sebagai naib juara setelah menduduki tempat ketiga pada Grand Prix Portugal di Litar Portimao di Portugal semalam.

Pelumba Itali berusia 25 tahun itu hampir berjaya meraih tempat kedua pada perlumbaan berkenaan, namun berjaya dipintas pelumba Australia, Jack Miller daripada Pramac Racing pada pusingan terakhir, yang mencatat masa 41 minit 51.356 saat, diikuti Morbidelli di tempat ketiga (41:51.461 saat).

Miguel Oliveira, pelumba Portugal daripada Red Bull KTM Tech 3 yang menguasai perlumbaan dari awal, merangkul kejuaraan kedua musim ini selepas GP Styrian setelah merekod masa 41 minit 48.163 saat pada perlumbaan 25 pusingan itu.

Rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quartararo dari Perancis sekadar mendapat tempat ke-14 daripada 18 pelumba dengan catatan masa 42:12.539 saat.

Juara dunia MotoGP yang baru dinobatkan, pelumba Sepanyol, Joan Mir daripada Team Suzuki Ecstar, bagaimanapun gagal menamatkan perlumbaan selepas berhadapan masalah teknikal pada pusingan 15.

Bagi kategori Moto2, pelumba Petronas Sprinta Racing, Xavi Vierge dari Sepanyol menamatkan perlumbaan 23 pusingan itu pada tempat ke-10 dengan rekod masa 39 minit 46.560 saat.

Rakan sepasukannya, Jake Dixon dari Great Britain tidak menyertai perlumbaan itu kerana masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan pergelangan tangan kanannya di United Kingdom minggu lepas.

Pelumba Australia, Remy Gardner daripada OneXOX TKKR SAG Team pula merangkul kemenangan sulungnya musim ini dengan catatan masa 39.35.476 saat, diikuti pelumba Itali, Luca Marini daripada SKY Racing Team VR46 dan pelumba British, Sam Lowes daripada EG 0,0 Marc VDS selepas masing-masing ketinggalan 1.609 saat dan 3.813 saat di belakang.

Artikel Berkaitan:

Dua pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah daripada Aspar Team Moto2 mendapat tempat ke-21 (40:26.639 saat), manakala Kasma Daniel Kasmayudin daripada OneXOX TKKR SAG Team gagal menyempurnakan perlumbaan selepas mengalami kemalangan pada pusingan 10.

Pelumba Itali, Enea Bastianini daripada Italtrans Racing Team yang menduduki tangga kelima perlumbaan dinobatkan sebagai juara dunia Moto2 selepas mengumpul 205 mata daripada 15 perlumbaan musim ini.

Sementara itu, pelumba Petronas Sprinta Racing Moto3, John McPhee dari Scotland dan pelumba negara, Khairul Idham Pawi masing-masing sekadar meraih tempat kesembilan dan ke-28 dengan catatan masa 38:20.217 saat dan 38:53.245 saat.

Pelumba Sepanyol, Raul Fernandez daripada Red Bull KTM Ajo pula meraih kemenangan kedua beliau selepas GP Eropah dengan masa 38 minit 06.272 saat, diikuti pelumba Itali, Dennis Foggia daripada Leopard Racing dan pelumba Kommerling Gresini Moto3, Jeremy Alcoba dari Sepanyol selepas masing-masing ketinggalan 5.810 saat dan 5.866 saat.

Pelumba Aspar Team Moto3, Albert Arenas dari Sepanyol berjaya meraih gelaran juara dunia Moto3 walaupun menamatkan perlumbaan di tempat ke-12. Beliau mengumpul 174 mata daripada 15 perlumbaan musim ini.

Berikut adalah kedudukan akhir pelumba 2020:

MotoGP:

1.Joan Mir (ESP) Team Suzuki Ecstar 171 mata

2.Franco Morbidelli (ITA) Petronas Yamaha SRT 158 mata

3.Alex Rins (ESP) Team Suzuki Ecstar 139 mata

.....

8.Fabio Quartararo (FRA) Petronas Yamaha SRT 127 mata

Moto2:

1.Enea Bastianini (ITA) Italtrans Racing Team 205 mata

2.Luca Marini (ITA) SKY Racing Team VR46 196 mata

3.Sam Lowes (GBR) EG 0,0 Marc VDS 196 mata

.....

10.Xavi Vierge (ESP) Petronas Sprinta Racing 79 mata

18.Jake Dixon (GBR) Petronas Sprinta Racing 44 mata

21.Hafizh Syahrin Abdullah (MAS) Aspar Team Moto2 21 mata

31.Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) OneXOX TKKR SAG Team 0 mata

Moto3:

1.Albert Arenas (ESP) Aspar Team Moto3 174 mata

2.Tony Arbolino (ITA) Rivacold Snipers Team 170 mata

3.Ai Ogura (JPN) Honda Team Asia 170 mata

.....

​​​​​​​7.John McPhee (SCO) Petronas Sprinta Racing 131 mata

32.Khairul Idham Pawi (MAS) Petronas Sprinta Racing 0 mata

- Bernama