X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan utamakan kebajikan rakyat

Siti Zailah (kanan) bersama moderator, Haslina AR Kamaludin pada Sinar Live yang bertajuk ‘Belanjawan 2021: Belanjawan Prihatin Keluarga’, Jumaat lalu.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan peruntukan Belanjawan 2021 membuktikan kerajaan prihatin terhadap nasib rakyat di negara ini terutamanya ketika negara berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM3.38 bilion kepada kementerian itu pada tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 38.78 peratus berbanding pada tahun 2020.

Menurutnya, kerajaan akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

“Saya berharap rakyat Malaysia agar bersama-sama bersatu hati untuk menangani isu kemiskinan dan isu kekeluargaan agar dapat dikurangkan semaksimum mungkin kerana kebajikan adalah tanggungjawab kita bersama.

“Kita mesti teguh untuk menangani cabaran ini dan tidak ada golongan sasar yang ketinggalan,” katanya pada program Sinar Live yang bertajuk ‘Belanjawan 2021: Belanjawan Prihatin Keluarga’ di sini pada Jumaat lalu.

Siti Zailah berkata, peruntukan tersebut menunjukkan kesungguhan kerajaan walaupun negara berdepan dengan pelbagai kekangan yang ada tetapi ia tidak menghalang usaha yang dilakukan untuk terus memberikan perhatian yang terbaik kepada golongan sasar yang memerlukan.

Menurutnya, sebagai contoh Kadar Bantuan Kanak-Kanak Keluarga Miskin akan dinaikkan daripada maksimum RM450 sekeluarga kepada maksimum RM1,000 satu keluarga mengikut kelayakan dan syarat yang ditetapkan.

“Alhamdulillah, kenaikan peruntukan operasi Pusat Aktivi Warga Emas (PAWE) dari RM33,330 kepada RM50,000 melibatkan 150 PAWE sedia ada di seluruh negara.

"Kerajaan menyasarkan satu PAWE akan ditubuhkan di setiap Parlimen di seluruh negara menjelang 2025,” katanya.

Katanya, dalam Belanjawan 2021, kerajaan juga menyediakan peruntukan khas untuk wanita iaitu inisiatif memperkasa golongan wanita sebanyak RM145 juta.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai kementerian. Peruntukan ini melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Tekun, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Agrobank yang akan memberikan manfaat kepada usahawan wanita,” katanya.

Bantuan

Siti Zailah berkata, kementerian komited dan konsisten dalam memastikan rakyat yang memerlukan bantuan akan dibantu dengan segera.

“Di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita memberikan bantuan kepada lebih kurang 500,000 penerima di seluruh negara. Kami juga turut memastikan nasib kanak-kanak yang memerlukan bantuan terbela melalui 36 institusi kanak-kanak di bawah JKM terutama kanak-kanak yang memerlukan perlindungan, pemeliharaan dan pemulihan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Terdapat pelbagai perkhidmatan di bawah kementerian melibatkan lapan kumpulan sasar seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), taska dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan sebagainya,” katanya.

Siti Zailah
Siti Zailah

Dalam pada itu menurutnya, kementerian juga mengambil berat mengenai pengukuhan institusi keluarga dan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melakukan pelbagai inisiatif berkaitan program-program kesedaran dan pendidikan kekeluargaan.

“Pada setiap bulan November, kita akan mengadakan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 (BKK 2020) dan pada tahun ini ia yang bertemakan Kita Jaga Keluarga dirasmikan Perdana Menteri.

"Kita mengharapkan masyarakat menjaga ahli keluarga, adik-beradik, keluarga tetangga untuk menunjukkan keprihatinan kepada keluarga,” katanya.

Katanya, golongan orang kurang upaya (OKU) juga diberikan perhatian dalam Belanjawan 2021, banyak kenaikan bantuan kewangan bulanan diberikan kepada OKU.

“Bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja telah dinaikkan dari RM250 kepada RM300 sebulan. Kerajaan juga akan menaikkan bantuan untuk penjaga OKU dan pesakit terlantar mereka iaitu dari RM350 hingga RM500.

“Setakat ini, kita mempunyai lebih 190,000 OKU dari seluruh negara yang menerima bantuan bulanan. Kenaikan saguhati iaitu nilai RM150 dinaikkan kepada RM400 untuk Sukarelawan Khidmat Bantu Di Rumah yang melibatkan penjagaan warga emas dan OKU,” katanya.

Menurutnya, elaun pekerja OKU juga dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

“Pasangan OKU juga akan mendapat pelepasan cukai dari RM3,500 kepada RM5,000. Majikan yang memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU ini juga bakal diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus bagi pelepasan cukai.

"Tambahan dari elaun-elaun yang saya kongsikan tadi, mereka akan mendapat RM5 pas perjalanan tanpa had,” katanya.

Siti Zailah berkata, elaun bulanan bagi kakitangan PDK pula dinaikkan daripada RM800 kepada RM1,200 bagi petugas manakala RM1,200 kepada RM1,500 bagi penyelia melibatkan sebanyak 565 buah PDK seluruh Malaysia.

“Kenaikan ini bakal memberi manfaat kepada 565 orang penyelia dan 2,781 orang petugas PDK,” katanya.Banjir

Sementara itu menurut, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM65 juta meliputi penyediaan stok bekalan dan pengurusan pusat-pusat pemindahan sementara.

“Kita mengenal pasti 5,422 pusat pemindahan sementara seluruh negara yang berkeupayaan menampung seramai 1.5 juta mangsa banjir.

“Kementerian juga mempunyai lapan Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah yang berperanan sebagai Pusat Fasiliti Penyimpanan Bantuan Bencana seperti barang keperluan asas, makanan kering dan barangan serta kemudahan tambahan.

“JKM juga bersiap siaga dari segi sumber manusia dengan menggembleng seramai 18,710 orang tenaga kerja untuk berdepan dengan musim banjir,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!