PKPB daerah Kuching dilanjutkan hingga 27 November

Tempoh PKPB di daerah Kuching dilanjutkan lima hari lagi sehingga 27 November ini. Foto 123RF
Tempoh PKPB di daerah Kuching dilanjutkan lima hari lagi sehingga 27 November ini. Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kuching dilanjutkan lima hari lagi sehingga 27 November ini, menurut keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini.

Pemangku Pengerusi JPBN Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, keputusan itu dibuat kerana dalam tempoh 14 hari lepas masih terdapat 58 kes penularan tempatan positif Covid-19 dalam daerah itu.

"Taburan kes jangkitan ini tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja. Oleh yang demikian setelah membuat penilaian risiko, tempoh PKPB di daerah Kuching dilanjutkan sehingga 27 November ini," katanya pada sidang akhbar harian Covid-19 di sini.

Menurut beliau, sekiranya JBPN Sarawak mendapati dalam tempoh lanjutan PKPB tidak ada lagi keperluan untuk menguatkuasakan perintah berkenaan, tempoh pelaksanaan itu boleh dipendekkan pada bila-bila masa.

Selain itu, katanya, tatacara kemasukan dan tempoh pelaksanaan kuarantin selama 14 hari apabila masuk ke Sarawak juga dilanjutkan sehingga diberitahu kelak.

Katanya, pergerakan keluar masuk merentasi daerah Kuching juga tidak dibenarkan kecuali untuk tugas rasmi dan tujuan bekerja dengan menunjukkan surat serta pas kerja daripada ketua jabatan atau majikan, sementara bagi kes kecemasan, ia dibenarkan tetapi perlu memohon permit daripada polis.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pembukaan taska dan tadika di zon merah dan zon kuning adalah dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KKWKPK) Sarawak.

Bagaimanapun, pengusaha taska dan tadika perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pematuhan SOP yang ditetapkan dan wajib memaklumkan kepada KKWKPK sebelum memulakan operasi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Masing berkata, jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian dibenarkan mengikut kapasiti kenderaan dan tidak lagi terhad kepada tiga orang sahaja.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri masih kekal dengan keputusan hanya membiayai kos kuarantin bagi rakyat Sarawak manakala individu bukan rakyat Sarawak perlu menanggung sendiri kos itu. - Bernama