Kelantan catat lapan kes baharu Covid-19

Jumlah kes baharu Covid-19 di Kelantan hari ini adalah sebanyak lapan kes melibatkan empat daerah utama.
Jumlah kes baharu Covid-19 di Kelantan hari ini adalah sebanyak lapan kes melibatkan empat daerah utama.
A
A
A

KOTA BHARU - Jumlah kes baharu Covid-19 di Kelantan hari ini adalah sebanyak lapan kes melibatkan empat daerah utama.

Perkara tersebut diumumkan Jabatan Kesihatan Negeri melalui laman sosial Facebook sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Ia membabitkan lima kes di Tanah Merah dan masing-masing satu kes di Pasir Mas, Machang dan Kota Bharu.

"Untuk kes 272 di Mukim Pangkal Meleret, Machang dan kes 273 di Mukim Kubang Sepat, Pasir Mas merupakan kontak rapat Kluster Mengketil.

"Untuk kes 274, 275, 276, 277 dan 278 di Mukim Kusial, Tanah Merah pula merupakan kontak rapat Kluster Kaya dan kes 279 di Mukim Kadok, Kota Bharu pula merupakan Saringan Survelan Covid-19 (SARI)," menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan turut menyebut, dua kes sembuh dan discaj dilaporkan hari ini iaitu kes 234 dan 235 manakala jumlah kes dalam rawatan ialah 77 orang termasuk satu kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) iaitu kes ke 265.

"Terdapat dua zon jingga dilaporkan iaitu daerah Kota Bharu melibatkan 33 kes tempatan dan Machang 27 kes juga melibatkan kes tempatan," katanya.

Untuk zon kuning pula, katanya, empat daerah dicatatkan iaitu daerah Tanah Merah melibatkan 18 kes tempatan, Pasir Mas (enam) Jeli (dua) dan Kuala Krai (satu).

Artikel Berkaitan:

"Untuk zon hijau pula ialah Tumpat, Bachok, Pasir Puteh dan Gua Musang manakala dua kes tamat tempoh 14 hari iaitu kes 185 di Mukim Kubang Gadong, Pasir Mas dan kes 186 di Mukim Kubang Kerian, Kota Bharu.

Menurut kenyataan itu, secara keseluruhannya sebanyak 279 kes dicatatkan di negeri ini melibatkan 93 kes aktif dalam tempoh 14 hari dan 183 kes yang tamat tempoh 14 hari.