Jumpa mayat ketika cari ketam

Anggota bomba menaikkan mayat yang ditemui terapung di celah pokok nipah di sungai di Kampung Mertua, Pengkalan Kubor Tumpat hari ini.
Anggota bomba menaikkan mayat yang ditemui terapung di celah pokok nipah di sungai di Kampung Mertua, Pengkalan Kubor Tumpat hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Seorang pencari ketam terkejut menemui satu mayat terapung di celah pokok nipah di Kampung Mertua, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Mayat lelaki dalam keadaan tertiarap masih lengkap berpakaian namun tanpa identiti itu ditemui pada jam 12.45 tengah hari oleh pemuda dikenali sebagai Amir, 20.

Amir berkata, ketika itu dia berada di jeti untuk ke sungai dan ternampak satu objek terapung di celah pokok nipah.

“Masa itu saya ingin memeriksa bubu ketam yang diletakkan di sungai itu. Saya nampak satu objek terapung macam tubuh manusia tetapi tidak menghiraukannya dan terus naik bot menuju ke tempat letak bubu ketam kira-kira satu kilometer.

“Selepas ambil bubu itu, saya balik semula ke jeti dan lihat objek itu masih berada celah pokok nipah sebelum mendekatinya dan terkejut melihat mayat seorang lelaki,” katanya hari ini.

Katanya, dia segera naik ke darat dan menghubungi pihak polis bagi memaklumkan penemuan itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit.

“Polis menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti lelaki itu dan meminta mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga hadir untuk pengecaman.

Artikel Berkaitan:

“Mayat dibawa ke Hospital Kelaboran Tumpat untuk proses bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan polis pada jam 1.07 tengah hari dan menghantar pasukan bagi membantu menaikkan mayat.

“Saya bersama lima anggota tiba di lokasi mendapati mangsa yang masih lengkap berpakaian terapung dalam keadaan meniarap di celah pokok nipah di tepi sungai.

"Mayat diangkat ke dalam bot dan dibawa naik ke darat di Kampung Kebun kira-kira satu kilometer dari lokasi ditemui,” katanya.