X

Kindly register in order to view this article
!

Berdolak-dalik ketika melalui sekatan jalan

Sekatan Jalan Raya (SJR) dilakukan di seluruh Kelantan termasuk di jalan-jalan utama antara sempadan di daerah dalam negeri bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan.
A
A

KOTA BHARU - Masih ramai rakyat di negeri ini yang berdolak-dalik ketika melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) dengan memberi alasan tidak tahu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di Kelantan sejak semalam.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, alasan tidak munasabah itu diberikan pengguna jalan raya pada hari pertama pelaksanaan PKPB di negeri ini bagi melepasi SJR, antaranya bertujuan merentas daerah tanpa urusan penting.

Menurutnya, PKPB bagi Kelantan dikuat kuasakan bermula semalam selepas diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.

“Arahan PKPB diumumkan pada hari negeri Kelantan cuti. Pada hari pertama PKPB berkuatkuasa, masih ada rakyat Kelantan yang memberi alasan tidak tahu.

“PDRM bagaimanapun mengambil pendekatan berhemah dan meminta rakyat Kelantan supaya dapat mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dengan mendapatkan surat kebenaran daripada majikan, surat rentas daerah daripada PDRM dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafien dalam pada itu menyarankan kepada rakyat Kelantan supaya bersabar ketika melalui SJR kerana akan mengambil sedikit masa berikutan polis terpaksa membuat pemeriksaan setiap kenderaan yang hendak rentas daerah.

“PDRM juga menyediakan lorong khas kepada petugas barisan hadapan dan kecemasan bagi melancarkan urusan penting oleh pihak berwajib ketika PKPB.

“Patuhi segala SOP kerana ini adalah usaha bagi mengekang penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Shafien berkata, memasuki hari kedua pelaksanaan PKPB di Kelantan, tahap pematuhan SOP di negeri ini semakin memuaskan.

“Sukar untuk mengukur tahap sebenar kerana baru memasuki hari kedua, namun setakat ini pematuhan rakyat Kelantan boleh dikatakan memuaskan.

"Jumlah kenderaan di jalan raya juga berkurangan kepada 30 hingga 40 peratus,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!