Covid-19: Tiga kluster baharu dikenal pasti, empat diisytihar tamat

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga kluster baharu hari ini, manakala empat kluster diisytihar tamat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Tiga kluster baharu berkenaan ialah Kluster Pengkalan Barat, Kluster Bakti dan Kluster Bayam Indah.

Dr Noor Hisham berkata, empat kluster diisytihar tamat adalah Kluster Kasih, Kluster Baiduri, Kluster Long dan Kluster Bestari.

Memperincikan kluster baharu itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Pengkalan Barat melibatkan Daerah Barat Daya di Pulau Pinang serta Daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak dengan kes indeks (kes ke-42,002) dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 10 November lepas.

"Sehingga hari ini sejumlah 251 individu telah disaring, dengan 19 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya dalam satu kenyataan media mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Kluster Bakti pula ​​​​​​melibatkan sebuah penjara dalam Daerah Seremban, Negeri Sembilan dengan kes indeks (kes ke-54,624) merupakan seorang banduan yang dilaporkan positif Covid-19 melalui saringan kemasukan tahanan ke penjara.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini sejumlah 481 individu telah disaring, dengan 16 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

Beliau berkata, Kluster Bayam Indah pula melibatkan Daerah Kulim dan Kuala Muda di Kedah dengan sejumlah 70 individu telah disaring dengan 10 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini setakat hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Kes indeks (kes ke-53,580) bagi Kluster Bayam Indah dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala semalam," katanya.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 167 kluster, dengan 54 daripadanya melaporkan pertambahan kes. - Bernama