Peruntukan RM100,000 beli keperluan asas mangsa banjir

Sukarelawan setempat bergotong royong membersihkan sebuah rumah penduduk warga emas yang terjejas susulan banjir kilat ketika tinjauan di Kampung Gadek Dalam, Melaka. -Foto Bernama
Sukarelawan setempat bergotong royong membersihkan sebuah rumah penduduk warga emas yang terjejas susulan banjir kilat ketika tinjauan di Kampung Gadek Dalam, Melaka. -Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi pembelian keperluan asas untuk mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sepanjang musim tengkujuh pada tahun ini.

Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, keperluan asas itu meliputi tuala, selimut, kain batik, kain pelekat, kit mandian dan tikar bagi memastikan keselesaan mangsa banjir sepanjang berada di PPS terlibat.

"Peruntukan disalurkan oleh ibu pejabat JKM dan sekiranya peruntukan berkenaan tidak mencukupi, kita akan memohon peruntukan tambahan bagi memastikan keperluan asas yang diperlukan mangsa dapat disediakan.

"JKM juga mempunyai Depoh Simpanan Keperluan Bencana di Muar (Johor) yang menjadi pusat penyimpanan barangan keperluan asas untuk mangsa banjir bagi zon selatan melibatkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor," katanya ketika ditemui pemberita di PPS Ayer Molek di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Tabung Bencana Negeri juga memperuntukkan RM20 sehari bagi seorang mangsa banjir untuk penyediaan makanan sebanyak tiga kali sehari membabitkan sarapan pagi (RM4), makan tengah hari (RM6) dan makan malam (RM6).

Katanya, dua petugas JKM akan ditempatkan di setiap PPS yang dibuka bagi memantau dan memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga.

"Turut disediakan kaunselor untuk memberikan perkhidmatan intervensi dan sokongan psikologi kepada mangsa banjir bagi membantu serta meredakan individu yang melalui pengalaman traumatik," katanya.

Setakat jam 2 petang, aplikasi infoBencanaJKM melaporkan, mangsa banjir di Melaka berkurangan kepada 404 orang berbanding 416 orang (128 keluarga) pada jam 12 tengah hari. - Bernama

Artikel Berkaitan: