X

Kindly register in order to view this article
!

'Kedai buka hari-hari, tapi orang tak datang'

Suasana lengang di kompleks makanan kerana kekurangan pengunjung berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Penang Sentral hari ini. - Foto Bernama
A
A

BUTTERWORTH - Pandemik koronavirus (Covid-19) yang masih melanda seluruh dunia memberikan kesan kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan peniaga kecil yang amat merasai impaknya.

Di terminal utama pengangkutan awam Pulau Pinang, rata-rata peniaga di terminal awam Penang Sentral dekat sini melahirkan kegusaran apabila berdepan situasi kekurangan pengunjung sejak kebelakangan ini.

Julaika Paulino, 19, peniaga makanan ringan berkata, kekurangan pengunjung di terminal awam itu didorong faktor ketakutan iaitu orang ramai kini tidak mahu keluar rumah ekoran penularan pandemik Covid-19 yang dilihat semakin membimbangkan.

"Memang tidak ramai pengunjung kebelakangan ini...mungkin semua takut nak keluar sebab Covid-19. Tapi bagi kami peniaga kena buka kedai juga sebab ada komitmen kewangan yang perlu dijelaskan," katanya ketika tinjauan Bernama di terminal itu hari ini.

Beliau yang sekadar membantu kakaknya menjaga gerai makanan ringan di situ turut mengakui bahawa dirinya turut mengalami kesulitan untuk mencari pekerjaan kerana tidak banyak majikan ingin mengambil pekerja di saat negara sedang berdepan pandemik itu.

Julaika Paulino, 19, menyusun makanan ringan di gerainya ketika ditemui di Penang Sentral hari ini. - Foto Bernama
Julaika Paulino, 19, menyusun makanan ringan di gerainya ketika ditemui di Penang Sentral hari ini. - Foto Bernama

"Sekarang kalau nak minta kerja sementara pun susah, majikan tidak mahu ambil individu yang sedang belajar. Jadi, saya hanya tolong kakak di sini buat sementara waktu," katanya yang merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur.

Azira Abdul Manaf, 27, peniaga di kompleks makanan (medan selera) di terminal itu turut meluahkan nada sama apabila terpaksa menanggung beban hutang dek kerana pulangan hasil perniagaannya itu tidak seperti yang diharapkan.

"Perniagaan yang diusahakan kini memang tak pulang modal. Dalam sehari anggaran dapat RM40 ke RM50 hinggakan menu makanan terpaksa dikurangkan daripada lebih 15 menu kepada dua menu sahaja.

"Kedai kami pula terpaksa mengurangkan banyak kos dari segi kos pengeluaran yang lain sebab nak tampung hutang yang ada. Kami buka kedai hari-hari, tapi orang tidak datang. Situasi sekarang memang sukar," katanya.

Suasana lengang di Penang Sentral kerana Pandemik Covid-19 yang masih melanda seluruh dunia memberikan kesan kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan peniaga kecil yang amat merasai impaknya. - Foto Bernama
Suasana lengang di Penang Sentral kerana Pandemik Covid-19 yang masih melanda seluruh dunia memberikan kesan kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan peniaga kecil yang amat merasai impaknya. - Foto Bernama

Sementara itu, seorang penjual pakaian wanita, Siti Haslinda Kamal, 35, berkata, beliau amat merindui suasana sebelum ini dan amat berharap pandemik itu akan lenyap segera dan keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala.

"Kalau dulu, meriah sangat (kehadiran pengunjung dan orang ramai), namun sekarang suasana sudah suram. Kehadiran pelanggan dalam sehari pun tidak sampai lima orang," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!