X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir di Kampung Pasir, Tampoi kedua terburuk selepas 2006

Majid Ahmad, 61, menjemur dan membersihkan barang rumah yang terjejas akibat banjir kilat semalam ketika tinjauan di Kampung Pasir hari ini. -Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Banjir kilat yang melanda Kampung Pasir, Tampoi di sini semalam disifatkan kejadian kedua terburuk selepas kejadian banjir pada 2006.

Ketua Kampung Pasir, Azmi Misni berkata, dianggarkan antara 250 sehingga 300 buah rumah di Kampung Pasir yang meliputi Kampung Pengkalan Rinting, Kampung Seri Jaya, Kampung Seri Jaya Baru, Kampung Seri Serdang, Kampung Seri Serdang Baru dan Taman Tampoi Utama terjejas.

“Air naik mendadak kira-kira 20 minit sehingga paras pinggang... orang kampung pun tidak jangka begitu pantas. Boleh dikatakan banjir kali ini kedua paling teruk selepas banjir besar yang melanda di seluruh negara dan kampung ini pada 2006 yang menyebabkan air naik sehingga dua meter,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, sebahagian penduduk kampung juga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai langkah berjaga-jaga kerana dijangkakan akan berlaku air pasang besar kira-kira jam 4 petang ini.

Beliau dalam masa sama berharap pihak berwajib dapat memantau kawasan kampung itu sekerap mungkin terutama ketika musim hujan lebat.

“Kita juga meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat sistem pam automatik, jadi bila air naik pada paras tertentu, pam akan hidup... kerana sekarang ini pam adalah secara manual,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga yang menjual daging kambing dan kuih-muih sejuk beku Mohd Aminuddin Mohd Sarip, 34, berkata, beliau kerugian kira-kira RM1,000 apabila van dan peti ais yang digunakan untuk berniaga rosak ditenggelami air.

Katanya, rumahnya dinaiki air secara mendadak dengan ketinggian kira-kira 1.5 meter menyebabkan dia sekeluarga tidak sempat berbuat apa-apa.

“Banjir kali ini memang tidak dapat dijangka sebab air naik terlalu pantas, ketika kejadian pula saya berada di luar daerah atas urusan kerja, hanya ibu dan adik-adik berada di rumah," kata anak sulung daripada tujuh beradik itu.

Mohd Aminuddin bagaimanapun berkata, dia masih bernasib baik kerana semua makanan sejuk beku yang disimpan tidak terjejas dan rosak dalam kejadian itu.

Tinjauan Bernama mendapati air di kawasan kampung mulai surut.

Bagaimanapun, rata-rata penduduk di kampung berkenaan dilihat membersihkan rumah masing-masing dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengangkat perabot dan mengeluarkan barangan berharga berikutan keadaan cuaca petang ini yang kembali hujan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!