Puad Zarkashi tegur Annuar Musa

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegur Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa supaya tidak mendahului presiden parti dalam isu dasar taktikal atau bertindak sebagai ketua penerangan parti lain.

Mohd Puad dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini mengulas kenyataan Annuar yang menampakkan UMNO sebuah parti yang defensif serta ‘bad boy’.

“Ada perkara yang perlu diulas. Ini bukan soal pergeseran sesama sendiri. Jangan apologatik.

“Menurut Annuar tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas tidak akan bersama UMNO,” katanya dalam hantaran itu.

Mengulas kenyataan Annuar lagi, Mohd Puad berkata, segelintir ahli dalam parti itu lupa bahawa mereka datang daripada parti yang kalah dan sudah jatuh.

Malah, Mohd Puad mengakui walaupun UMNO tewas di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun parti itu menang kerusi terbanyak.

“Bersatu menang 13 kerusi sahaja tetapi bersama DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Amanah Negara (Amanah) berjaya menubuh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tetapi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan, kemudian lahir Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Kerajaan ini adalah kerajaan baharu dan didokong bersama. Tidak timbul siapa kalah, siapa menang walaupun kerusi UMNO masih terbanyak.

Artikel Berkaitan:

“Maka sebagai dokongan baharu, ia mesti dikongsi dengan cara yang baharu. Itu yang Presiden UMNO sebut di Dewan Rakyat, tidak timbul siapa berbudi, siapa yang terhutang budi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah lama akar umbi UMNO tolak Annuar, dakwa Nur Jazlan

Menurutnya, jika mahu membahas soal siapa kalah siapa menang, UMNO telah menang tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) mengalahkan Bersatu sebanyak dua kali ketika PH masih berkuasa iaitu di Semenyih dan Tanjung Piai.

“UMNO kemudian mengalahkan semua parti gabungan PH kecuali Amanah. UMNO juga mengalahkan DAP di Cameron Highlands, PKR di Rantau dan Warisan di Kimanis.

“Bahkan Bersatu sekarang ini didokong oleh sebanyak 15 ahli Parlimen yang lompat daripada UMNO. Zaman kebanggaan PH menang PRU14 sudah berakhir,” katanya.