Sultan Johor sempurna majlis pecah tanah projek RTS secara maya

Sultan Ibrahim, Tunku Ismail dan Hasni menyaksikan majlis pecah tanah projek RTS secara maya di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. - Foto FB Sultan Johor
Sultan Ibrahim, Tunku Ismail dan Hasni menyaksikan majlis pecah tanah projek RTS secara maya di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. - Foto FB Sultan Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

Majlis pecah tanah berlangsung di tapak projek berkenaan di bangunan Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Bukit Chagar disaksikan baginda secara maya dari Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini bersempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Johor pada hari ini.

Turut hadir ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim menandatangani plak perasmian majlis pecah tanah projek RTS secara maya di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. - Foto FB Sultan Johor
Sultan Ibrahim menandatangani plak perasmian majlis pecah tanah projek RTS secara maya di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. - Foto FB Sultan Johor

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Baginda turut berkenan menandatangani plak perasmian, disusuli dengan simbolik pecah tanah oleh mesin cerucuk di Bukit Chagar.

Majlis diadakan secara maya seiring dengan titah nasihat Sultan Johor yang amat menitik beratkan keselamatan para peserta bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pada masa sama, majlis penuh bersejarah itu turut disaksikan hampir 50 orang dari pelbagai lokasi berbeza di Johor Bahru, Putrajaya dan Kuala Lumpur secara maya menerusi aplikasi zoom.

Artikel Berkaitan:

Majlis pecah tanah projek RTS yang disiarkan secara maya. - Foto FB Sultan Johor
Majlis pecah tanah projek RTS yang disiarkan secara maya. - Foto FB Sultan Johor

Pelaksanaan projek RTS Link itu bukan sahaja memberikan manfaat daripada segi sosio ekonomi, malah bakal mengubah lanskap pengangkutan awam di Johor, selain terus mengeratkan hubungan dengan Singapura.

RTS Link merupakan sistem transit aliran ringan pertama dibina di Johor Bahru yang mana Johor merupakan pintu masuk utama di selatan negara.

Merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura, RTS Link dijangka beroperasi pada penghujung tahun 2026.