Pengantin baharu buat majlis kahwin di pasar tani

Nur Syuraya dan Muhd Safuan (kanan) mengedarkan makanan kepada peniaga di Pasar Tani Taman Wira Mergong di Alor Setar hari ini sempena majlis perkahwinan mereka.
Nur Syuraya dan Muhd Safuan (kanan) mengedarkan makanan kepada peniaga di Pasar Tani Taman Wira Mergong di Alor Setar hari ini sempena majlis perkahwinan mereka.
A
A
A

ALOR SETAR - Sepasang pengantin baharu dari Kampung Alor Keladi, Langgar di sini mengabadikan hari bahagia mereka dengan mengadakan majlis perkahwinan di Pasar Tani Taman Wira Mergong di sini hari ini.

Nur Syuraya Ramli, 21, berkata, majlis berkenaan dirancang selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kedah bermula 9 November lalu.

Beliau berkata, majlis akad nikah bersama pasangannya, Muhd Safuan Muhd Azli, 25, selamat berlangsung di Masjid Padang Petani pada Jumaat lalu berserta majlis kenduri kecil-kecilan di rumah untuk sanak-saudara.

"Disebabkan perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) termasuk jumlah tetamu dihadkan, jadi kami sekeluarga tidak dapat menjemput rakan-rakan yang berniaga di pasar tani.

"Jadi kami mengambil keputusan untuk mengadakan majlis kedua di sini termasuk memakai pakaian pengantin untuk menghidupkan suasana majlis perkahwinan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nur Syuraya berkata, bapanya, Ramli Ahmad, 51, merupakan peniaga air minuman di pasar tani berkenaan lebih 20 tahun lalu menyebabkan hubungannya dengan peniaga-peniaga sangat akrab.

"Peniaga di sini sudah seperti keluarga kami sebab itu rasa ralat kalau mereka tidak ada bersama-sama di hari bahagia saya dan suami," katanya.

Sementara itu, ibunya, Sarina Ibrahim, 50, bersyukur kerana majlis anak ketiganya itu berjalan lancar selain mencipta sejarah tersendiri buat mereka sekeluarga.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan di pasar tani yang bergotong-royong memasak untuk majlis anak perempuan saya.

"Mereka bertungkus-lumus menyediakan 800 bungkusan makanan dari jam 4.30 pagi sehingga selesai semua makanan diedarkan kira-kira jam 11 pagi.

"Saya sangat terharu dengan semangat mereka untuk menjayakan majlis ini," katanya.