Berita anggota bomba meninggal dunia palsu

Kenyataan palsu yang ditularkan di laman sosial.
A
A

SUBANG JAYA - Berita kematian anggota bomba yang cedera diserang di Kuil Sri Mariamman, di USJ 25 yang tular di media sosial sejak beberapa minit lalu disahkan palsu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan di akaun Facebook Bahagian Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan anggota tersebut masih dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

“Jabatan mengharapkan tiada sebarang penyataan yang tidak benar disebarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab berkenaan keadaan sebenar PB Muhammad Adib Mohd Kassim. Pegawai ini masih dirawat di Subang Jaya Medical Centre,” katanya.

Terdahulu, tular berita bergambar mengenai anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang dikatakan sudah meninggal dunia.

Mangsa sebelum itu cedera diserang sekumpulan lelaki ketika cuba memadamkan kenderaan yang dibakar ketika rusuhan di Kuil Sri Mariamman, di USJ 25, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib dikatakan mengalami patah tulang rusuk dan paru-paru berdarah.