Benteng masjid runtuh akibat hujan lebat

Benteng sepanjang 20 meter di bahagian tepi berhampiran pintu utama Masjid Taman Saga Mentakab, Temerloh yang runtuh selepas hujan lebat malam tadi.
Benteng sepanjang 20 meter di bahagian tepi berhampiran pintu utama Masjid Taman Saga Mentakab, Temerloh yang runtuh selepas hujan lebat malam tadi.
A
A
A

TEMERLOH - Benteng sepanjang 20 meter di bahagian tepi berhampiran pintu utama Masjid Taman Saga Mentakab, di sini runtuh berikutan hujan lebat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam tadi, struktur tandas lelaki masjid tersebut turut roboh.

Pengerusi masjid, Mohd Basuki Ismail, 69, berkata, ia adalah kejadian kali pertama yang berlaku di masjid tersebut.

Mohd Basuki Ismail
Mohd Basuki Ismail

Menurutnya, pihaknya akan mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada minggu ini untuk menentukan sama ada masjid tersebut masih selamat untuk digunakan atau pun tidak.

"Buat masa ini, kariah akan menggunakan masjid dan surau berhampiran sebelum pengesahan diterima daripada pihak berwajib.

"Saya bersyukur kerana kejadian tersebut tidak membabitkan sebarang nyawa atau kecederaan," katanya kepada Sinar Harian ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin ke lokasi kejadian hari ini.

Masjid tersebut yang pada mulanya sebuah surau dibina pada 1985 kemudian dinaik taraf pada 1995 boleh memuatkan hingga 200 jemaah pada satu-satu masa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, pihaknya menunggu pengesahan daripada JKR sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Menurutnya, kawasan tersebut akan menerima masjid baharu yang dibina di kawasan berhampiran dalam tempoh terdekat berikutan segala urusan tender telah diluluskan.

"Pihak jabatan agama telah bersetuju masjid sedia ada akan dirobohkan selepas masjid baharu siap dibina nanti.

"Jika JKR mengesahkan masjid sedia ada ini tidak boleh digunakan lagi, alternatifnya, dewan serbaguna berhampiran akan dijadikan lokasi beribadah untuk sementara waktu," ujarnya.