Polis Kedah komited pantau sempadan negeri

Hasanuddin (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Mohd Roze (kanan) di IPK Kedah, Alor Setar hari ini.
Hasanuddin (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Mohd Roze (kanan) di IPK Kedah, Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Kedah komited menjalankan pemantauan di sempadan negeri ini dengan Pulau Pinang dan Perak untuk mengelakkan kemasukan individu dari negeri berkenaan yang masih tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, setiap individu yang berhasrat untuk memasuki negeri ini akan diperiksa terlebih dahulu oleh anggota yang bertugas di sekatan jalan raya.

Katanya, sekatan jalan raya diadakan berdekatan sempadan Perak di Baling dan di laluan lebuh raya yang menghubungkan Kedah dan Pulau Pinang.

"Kita akan semak dokumen mereka dan lihat apa alasan ke sini, kalau tidak munasabah kita akan minta untuk berpatah balik, jika ingkar mereka akan dikenakan kompaun RM1,000," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah yang baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK), di sini hari ini.

Menurutnya, selain mengadakan sekatan jalan raya di laluan utama, pihaknya turut menjalankan pemantauan di laluan-laluan tikus berdekatan sempadan.

"Kita tidak nafikan penduduk setempat lebih arif tentang laluan tikus yang ada di sekitar sempadan antara dua negeri ini.

"Oleh itu kita turut menggiatkan pemantauan di situ sekiranya bernasib baik mungkin mereka akan bolos dengan selamat, tetapi jika sebaliknya, tindakan tegas akan diambil," katanya.

Dalam pada tu, beliau menambah, pergerakan antara negeri Kedah dan Perlis dibenarkan susulan kedua-dua negeri hanya tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih dilaksanakan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, kerajaan bersetuju menamatkan PKPB di negeri-negeri Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu mulai 21 November.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa daerah masih diletakkan di bawah PKPB iaitu di Kulim, Kedah, dan Mersing serta Kota Tinggi di Johor.

Terdahulu, Hasanuddin menyaksikan majlis serah terima tugas Datuk Mohd Roze Shaari bagi menggantikan Datuk Muhammad Azlee Abdullah yang sudah bersara.