X

Kindly register in order to view this article
!

APMM usir dua kapal tangki, bot nelayan Vietnam

Dua kapal tangki yang diusir APMM Pahang selepas dikesan menceroboh perairan negara, timur Kuantan kelmarin. - Foto APMM Pahang
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang bertindak mengusir sebuah bot nelayan Vietnam dan dua kapal tangki yang dikesan menceroboh perairan negara kelmarin.

Bot dan kapal berkenaan dikesan berada dalam perairan negara di dua lokasi berasingan kira-kira 43 dan 90 batu nautika timur Kuantan.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud berkata, bot nelayan Vietnam dengan nombor pendaftaran KG 858 TS dan dua kapal tangki itu berjaya dikesan pesawat udara Bombardier CL415 Maritim Malaysia ketika sedang merapat masuk ke perairan negara dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika kejadian pesawat berkenaan sedang melaksanakan rutin pengawasan udara di perairan Pahang.

"Maklumat pencerobohan itu disalurkan kepada Kapal Maritim (KM) Pekan yang sedang melaksanakan Ops Kuda Laut berhampiran lokasi kejadian.

"Sebaik menyedari kehadiran pesawat udara dan kapal APMM itu, bot berkenaan menukar haluan menuju ke perairan antarabangsa.

"KM Pekan terus mengekori dan bertindak mengusir bot nelayan Vietnam itu sehingga keluar dari sempadan perairan negara," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Bot nelayan Vietnam yang diusir APMM Pahang selepas dikesan menceroboh perairan negara, timur Kuantan kelmarin. - Foto APMM Pahang
Bot nelayan Vietnam yang diusir APMM Pahang selepas dikesan menceroboh perairan negara, timur Kuantan kelmarin. - Foto APMM Pahang

Amran berkata, KM Pekan seterusnya bergegas ke lokasi berikutnya untuk mengusir dua kapal tangki yang turut dikesan berada dalam perairan negara dalam keadaan mencurigakan.

"Dua kapal berkenaan dihubungi melalui radio berfrekuensi tinggi (VHF) Channel 16, tetapi gagal memberi respons memaksa KM Pekan menyalakan lampu amaran sebelum kedua-dua kapal tangki berkenan bergerak keluar dari perairan negara sambil diawasi aset APMM itu," katanya.

Beliau berkata, KM Pekan kini berada di kawasan sempadan perairan negara untuk memastikan bot dan kapal-kapal asing terbabit tidak cuba untuk masuk ke perairan negara semula.

"Keberadaan KM Pekan di kawasan tersebut juga bertujuan untuk memantau dan melakukan pengusiran terhadap bot serta kapal asing yang dikesan menceroboh perairan negara.

"Dalam tempoh dua minggu ini, sebanyak sembilan pengusiran dibuat aset APMM Pahang yang dibantu aset APMM Johor di perairan Pahang.

"Sepanjang tahun ini pula, APMM Pahang telah merekodkan 41 pengusiran dan daripada jumlah itu, 39 daripadanya bot nelayan Vietnam melibatkan 337 krew termasuk tekong," katanya.

Amran berkata, tindakan pengusiran terhadap bot nelayan asing dan kapal tangki itu adalah tindakan sementara dalam tempoh penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Tiada penahanan dan tangkapan dilakukan bagi mengekang wujudnya kluster baharu koronavirus (Covid-19) terutamanya di lokap-lokap tahanan yang boleh memberi risiko jangkitan kepada pasukan barisan hadapan dan juga rakyat tempatan," katanya.

Katanya, APMM Pahang terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun berdepan cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara tetap terpelihara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!