Mayat atas Jalan Bangsar dikenal pasti warga Pakistan

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mayat lelaki yang ditemui dengan kesan tetakan di Jalan Bangsar di sini Khamis lalu dikenal pasti sebagai warga Pakistan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, identiti mayat mangsa berusia 25 tahun itu dikenal pasti selepas bekas isteri mangsa yang merupakan seorang wanita tempatan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields semalam.

"Wanita berusia 31 tahun itu hadir bersama rakan mangsa yang juga warga Pakistan.

"Berdasarkan keterangan bekas isteri mangsa, mereka telah bercerai pada Oktober lalu. Malah rakan mangsa juga mendakwa kali terakhir berhubung dengan mangsa adalah pada 11 November lalu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, proses pengecaman telah dibuat oleh bekas isteri dan rakan mangsa berdasarkan gambar dan pakaian mangsa.

Bagaimanapun katanya, pengecaman tubuh badan mangsa akan diadakan esok di Jabatan Patologi Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).

Menurutnya, selain itu, siasatan awal juga mendapati mangsa pernah menjalankan perniagaan sendiri menjual minyak wangi bersama dengan bekas isteri sebelum berhenti setelah mereka bercerai.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan suspek terlibat dan motif kejadian sebenar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, dalam kejadian berkenaan, polis menerima panggilan pada jam 5.38 pagi berkenaan penemuan satu mayat di lokasi terbabit.

Kejadian itu menyebabkan laluan berkenaan ditutup kira-kira selama sejam bermula jam 7.30 pagi berikutan siasatan perlu dilakukan polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat atas Jalan Bangsar ada kesan tetak

Polis siasat kes bunuh, laluan di Jalan Bangsar ditutup