Sudah lama akar umbi UMNO tolak Annuar, dakwa Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed, Annuar Musa
Nur Jazlan Mohamed, Annuar Musa
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa patut sedar bahawa beliau sudah lama ditolak oleh akar umbi UMNO.

Jelas beliau, tindak tanduk Ahli Parlimen Ketereh itu yang selalu mempertahankan Bersatu dan menjadi 'jurucakap' parti itu membuatkan ahli akar umbi UMNO sudah muak.

"Saya dapat rasakan tindakan pengurusan UMNO melantik Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung UMNO menggantikan Annuar sebagai isyarat penolakan pemimpin dan ahli UMNO terhadap beliau.

"Namun demi memberi muka dan menjaga maruah Annuar, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melantik beliau sebagai Setiausaha Agung BN.

"Mungkin pucuk pimpinan parti membuat keputusan berdasarkan suara akar umbi yang sudah jemu dengan tingkah laku Annuar yang mementingkan diri sendiri bagi memastikan tidak berlakunya pertembungan calon di Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nur Jazlan berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Annuar yang mahu pucuk pimpinan UMNO mendengar suara akar umbi dalam menentukan kerjasama politik pada PRU15 nanti.

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu turut mempelawa Annuar bertanding di kerusi Parlimen Pulai jika benar beliau seorang pejuang yang sentiasa boleh membawa kemenangan kepada UMNO.

Ujar Nur Jazlan, jika hanya bersandar kepada rekod bertanding di kerusi majoriti Melayu dan mudah menang, Annuar tidak boleh terlalu mendabik dada.

Artikel Berkaitan:

"Saya berbesar hati mempelawa Annuar bertanding di kerusi Parlimen Pulai yang majoritinya 48 peratus pengundi Melayu, 40 peratus orang Cina dan 12 peratus undi India, barulah dia (Annuar) boleh buktikan dia benar-benar winnable candidate atau pejuang kental UMNO.

"Sekurang-kurangnya saya sudah tiga penggal berjuang, bertanding dan menang di kerusi yang susah untuk menang itu, tapi saya tak pernah membangga diri," katanya.

Nur Jazlan membidas sindiran Annuar terhadap dirinya dalam laman Facebook bahawa Menteri Wilayah itu mendakwa beliau sekurang-kurangnya menyumbang satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN kepada UMNO berbanding bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu yang kalah di Pulai pada PRU14 lalu.