UNI-MLC mahu kerajaan kaji semula kadar pencen pesara GLC

UNI-MLC mahu kerajaan mengkaji semula kadar bayaran pencen yang diterima oleh pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
UNI-MLC mahu kerajaan mengkaji semula kadar bayaran pencen yang diterima oleh pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mahu kerajaan mengkaji semula kadar bayaran pencen yang diterima oleh pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, kerajaan perlu memikirkan cara terbaik bagi membantu mereka yang merupakan pesara Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Keretapi Tanah Melayu, Pos Malaysia Berhad, North Port, PLUS, Malaysia Airport dan beberapa agensi lain yang diswastakan pada awal 1980-an dan 1990-an dengan memasukkan tuntutan itu dalam Belanjawan 2021 yang dijangka diluluskan oleh Dewan Rakyat minggu depan.

"Kami berharap kerajaan mengambil peduli dengan tuntutan ini dan golongan yang kerap tercicir semasa belanjawan tahunan akan diberi perhatian demi menjaga kebajikan mereka.

"Bayaran pencen rendah yang diterima adalah satu daripada masalah sosial dan ekonomi. Terdapat dalam kalangan pesara perkhidmatan tidak mencukupi 25 tahun menerima pencen serendah RM180 sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, lebih 100,000 pesara GLC terbabit mengharapkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen pada 6 November lalu mengambil kira tuntutan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menghantar 10 memorandum dalam tempoh 20 tahun yang lalu mengharapkan tuntutan mereka dipenuhi dan diambil kira dalam setiap pembentangan belanjawan.

"Bagaimanapun Belanjawan 2021 tidak menyentuh perubahan untuk mengatasi kadar bayaran pencen yang amat rendah dengan mengambil kira realiti pada masa sekarang,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: