'Dengar bunyi ketukan tapi tiada pelaku dalam CCTV'

Perbualan kumpulan WhatsApp penduduk di Taman Yu berhubung gangguan bunyi misteri di taman itu malam tadi. - Foto 123RF
Perbualan kumpulan WhatsApp penduduk di Taman Yu berhubung gangguan bunyi misteri di taman itu malam tadi. - Foto 123RF
A
A
A

SABAK BERNAM - Jika malam sebelumnya kecoh bunyi ketukan pintu tanpa salam di Taman Air Manis, namun ketukan misteri itu 'berpindah' mengganggu penduduk di Taman Yu, Sungai Besar malam tadi.

Ketua Penerangan Pas Kawasan Sabak Bernam, Muhammad Labib Abd Jalil berkata, kejadian ketukan pintu hadapan jeriji besi rumahnya di Taman Yu berlaku kira-kira jam 12.10 pagi tadi.

Menurutnya, bunyi ketukan kuat selama kira-kira lima minit itu mengejutkannya daripada tidur dan terus melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Setelah meneliti rakaman CCTV, saya dapati tiada sesiapa pun yang kelihatan mengetuk pintu jeriji besi terbabit," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Labib berkata, bunyi ketukan pada jeriji besi rumah dua tingkat itu terlalu kuat hingga terdengar di tingkat atas bilik tidurnya.

"Saya terjaga daripada tidur sebab bunyi bising sebelum lama kelamaan terdengar sayup dan hilang daripada pendengaran," katanya.

Muhammad Labib berkata, beliau yang ingin kembali tidur kemudian sempat membaca aplikasi kumpulan WhatsApp taman itu yang memaklumkan terdapat kira-kira tujuh penghuni taman itu mengalami gangguan sama.

"Peliknya, penghuni memaklumkan, gangguan ini tidak didengari wanita sebaliknya hanya lelaki yang mendengar bunyi ketukan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhammad Labib berkata, semua sedia maklum bahawa ada makhluk ALLAH yang dijadikan ghaib seperti jin dan malaikat yang tidak dapat dilihat pada mata kasar.

"Saya tidaklah percaya pada hantu kerana ia tidak wujud. Saya tak pasti... cuma ini mungkin hanya permainan jin barangkali hendak bergurau dan sebagainya.

"Pandangan saya, sebagai orang Islam beriman, kita tidak perlu takut kerana jin ini makhluknya halus yang kita tidak nampak.

"Kalau setakat dia (makhluk halus) hendak ganggu masuk ke dalam rumah atau ke mana-mana dia boleh ganggu tetapi ini mungkin sekadar bergurau sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima laporan polis berhubung kejadian ketukan pintu di rumah penduduk.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan meningkatkan rondaan di beberapa kawasan kampung yang tular berhubung gangguan bunyi ketukan pintu terbabit.

"Polis menasihatkan orang awam yang ternampak individu atau pihak mencurigakan segera hubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri ketukan pintu terus hantui penduduk Sabak Bernam

Misteri ketukan pintu hantui penduduk