'Harapkan pembangunan tapi dapat kolam udang'

Kira-kira 20 penduduk mengadakan bantahan secara aman terhadap projek kolam udang yang dibuat di atas tanah bagi pembangunan Bagan Datuk Water City pada Jumaat lalu.
Kira-kira 20 penduduk mengadakan bantahan secara aman terhadap projek kolam udang yang dibuat di atas tanah bagi pembangunan Bagan Datuk Water City pada Jumaat lalu.
A
A
A

BAGAN DATUK - Penduduk Kampung Sungai Burung, Kampung Rungkup Kecil dan Kampung Simpang Empat Rungkup di sini membantah projek pembangunan kolam udang di atas tanah seluas kira-kira 47 hektar di Mukim Bagan Datuk.

Wakil penduduk, Azizi Baharuddin, 44, berkata, tanah milik kerajaan negeri tersebut pada asalnya dimajukan dengan tanaman kelapa sawit oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) yang kemudiannya diambil alih Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi tujuan pembangunan Bagan Datuk Water City (BDWC) di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Menurutnya, projek pembangunan BDWC tersebut sudah diuar-uarkan sebelum ini pada tahun 2017 menerusi perancangan kerajaan negeri bagi pembangunan Wilayah Perak Selatan, namun sehingga kini masih belum direalisasikan.

"Yang kami pelik, bagaimana tanah untuk pembangunan daerah Bagan Datuk ini boleh diberikan sewa kepada sebuah syarikat milikan tunggal untuk membina kolam udang dan pusat latihan.

"Kami mahukan sebuah pembangunan terancang di Bagan Datuk, bukan kolam udang tidak bermanfaat kepada penduduk setempat malah merosakkan ekosistem, flora dan fauna," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Azizi berkata, tidak puas hati dengan keadaan itu, kira-kira 20 penduduk mengadakan bantahan secara aman dan membuat petisyen bantahan di sebuah lokasi di Kampung Rungkup Kecil di sini, Jumaat lalu setelah mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Malah katanya, lebih 100 penduduk sudah menandatangani petisyen tersebut bagi meminta kerajaan negeri dan PKNP membatalkan sewaan tanah bagi tujuan projek kolam udang tersebut.

Dalam pada itu, Azizi berkata, penduduk juga meluahkan kerisauan mereka jika kawasan tanaman kelapa dan kelapa sawit di sekitar kawasan kolam udang tersebut rosak akibat resapan air masin.

Artikel Berkaitan:

Penduduk kampung menandatangani petisyen bantahan terhadap kolam ternakan kolam udang di atas tanah yang sepatutnya dibangunkan bagi tujuan pembangunan Bagan Datuk Water City.
Penduduk kampung menandatangani petisyen bantahan terhadap kolam ternakan kolam udang di atas tanah yang sepatutnya dibangunkan bagi tujuan pembangunan Bagan Datuk Water City.

Beliau berkata, lebih membimbangkan lagi jika berlaku kejadian ban pecah di kawasan sekitar seperti yang berlaku di kawasan lain yang menyebabkan air laut masuk ke kawasan tanaman serta kediaman penduduk.

"Setakat ini, menurut maklumat yang kita dapat, kira-kira sembilan kolam udang dan kolam takungan telah dibuat walaupun kami difahamkan kategori penggunaan tanah belum ditukar status untuk tujuan akuakultur.

"Kita juga amat bimbang dengan isu ancaman makhluk perosak seperti babi liar, kera dan lotong kerana habitat haiwan ini telah dijadikan kolam udang," katanya.

Azizi berkata, sehubungan itu juga, dua laporan polis dibuat mengenai projek ternakan udang tersebut iaitu pada 20 Oktober dan 3 November 2020, manakala laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dibuat pada 3 November 2020 di Pejabat SPRM Cawangan Teluk Intan.

Beliau berkata, susulan laporan tersebut, pihaknya mengharapkan siasatan dibuat secara telus berhubung isu yang dibangkitkan penduduk itu.

Sementara itu, Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pihaknya sedang berbincang dengan penduduk dan PKNP bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu tersebut.

Sinar Harian juga telah berhubung dengan pihak PKNP bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan, namun sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi dibuat oleh perbadanan tersebut.