‘Maaf, kami bukan scammer atau perompak’

Gambar ejen UGS Network Service yang didakwa sebagai scammer diambil oleh orang kampung sebelum tular dalam media sosial sehingga menimbulkan salah faham.
Gambar ejen UGS Network Service yang didakwa sebagai scammer diambil oleh orang kampung sebelum tular dalam media sosial sehingga menimbulkan salah faham.
A
A
A

MARANG – Kehadiran individu berpakaian seragam berwarna hijau dan biru yang berkunjung dari rumah ke rumah, bukan untuk merompak tetapi sekadar menjalankan kempen keselamatan dan menjual sistem keselamatan gas berkualiti tinggi.

Itu penjelasan Pengurus UGS Network Service (M) Sdn Bhd Cawangan Terengganu, Mohd Fardly Mat Jusoh berhubung dakwaan bahawa ejen syarikat itu menipu dan merompak seperti yang tular dalam media sosial sejak 11 November lalu.

Mohd Fardly berkata, UGS Network Service (AJL931471) merupakan syarikat jualan langsung berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sejak tahun 2003.

“Kami minta maaf jika kehadiran kami mengundang rasa tidak selesa tetapi tujuan kami hanya mahu memberikan kesedaran tentang kepentingan menggunakan kepala gas yang dilengkapi ciri keselamatan kepada orang ramai.

“Penerangan ini memerlukan kami menunjukkan demonstrasi agar pengguna lebih jelas sebab itu kami memohon izin masuk ke rumah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini kelmarin.

Mohd Fardly berkata, semua ejen jualan langsung UGS Network Service akan bergerak dari rumah ke rumah bermula jam 9 pagi hingga 6.30 petang dengan memakai pakaian seragam dan mempunyai pas pekerja yang membuktikan mereka mewakili syarikat.

Beliau berkata, kebiasaannya pada waktu itu hanya suri rumah atau warga emas yang ada di rumah manakala penghuni lain keluar bekerja.

Katanya, keadaan itu mungkin menimbulkan salah faham hingga menyebabkan mereka dituduh menipu.

Artikel Berkaitan:

“Bermula dengan satu lokasi, tuduhan itu yang tular dalam Facebook dan WhatsApp merebak ke seluruh negara sehingga orang ramai beranggapan kami adalah penipu dan perompak.

"Hal ini menyebabkan ejen-ejen jualan kami bimbang akan keselamatan diri untuk menjalankan kempen dari rumah ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus UGS Network Service Cawangan Pahang, Halton Saato berkata, keadaan itu memaksanya membuat beberapa laporan polis dibuat bagi menjamin keselamatan pekerja berikutan ada antara mereka diancam.

"Kami tidak memaksa pelanggan untuk membeli alat keselamatan kepala gas yang dijual.

“Kepada mereka yang telah membeli produk kami, jika tidak berpuas hati dengan produk ini boleh pulangkan dan kami akan kembalikan semula wang,” katanya.

Menurutnya, alat itu turut dilengkapi ciri keselamatan dan diluluskan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bagi menjamin kesejahteraan pengguna.

Selain itu katanya, alat berkenaan mempunyai perlindungan insurans dan diberi penyelenggaraan percuma sepanjang hayat penggunaan.

“Malah kami mempunyai pejabat di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak, jadi mana mungkin kami menipu,” katanya.

Halton berkata, syarikat yang sudah bertapak selama 17 tahun itu mempunyai ribuan pelanggan termasuk dalam kalangan artis dan orang kenamaan.