Belanjawan 2021 suntik semangat ahli Peladang

Azulita (kanan) dan Abd Rahman menunjukkan padi yang dihantar di pusat pengumpulan padi di Tanjong Karang, Kuala Selangor. - FOTO ROSLI TALIB
Azulita (kanan) dan Abd Rahman menunjukkan padi yang dihantar di pusat pengumpulan padi di Tanjong Karang, Kuala Selangor. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

TANJONG KARANG - Peruntukan sebanyak RM4.79 bilion yang disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Belanjawan 2021 bakal memberi manfaat kepada peladang terutama dalam keadaan negara berdepan situasi sukar akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, peruntukan itu menyuntik semangat kepada seramai 54,525 ahli Peladang di negeri itu untuk meneruskan aktiviti yang sebelum ini terganggu akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, sebanyak RM1.7 bilion yang diperuntukkan bagi pemberian subsidi, insentif dan bantuan kepada petani serta nelayan mampu meningkatkan produktiviti, selain meringankan beban mereka khususnya dalam keadaan ekonomi mencabar.

“Tanpa subsidi, bantuan dan insentif tentulah akan meningkatkan modal, seterusnya menyukarkan mereka meneruskan kelangsungan hidup dan perusahaan masing-masing,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini pada Selasa lalu.

Abd Rahman turut menyambut baik dana sebanyak RM570 juta yang akan disalurkan menerusi Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) bagi membantu meningkatkan pendapatan pesawah dan pengeluaran hasil padi dalam negara.

Menurutnya, terdapat juga peruntukan sebanyak RM960 juta bagi Skim Subsidi Baja dan Insentif Pengeluaran Padi yang bertujuan mengurangkan kos pengeluaran padi, selain meningkatkan daya saing pengeluaran padi melalui pemberian input pertanian seperti baja serta racun.

Azulita cuba mengemudi jentera menuai padi ketika kunjungannya ke Tanjong Karang, Kuala Selangor pada Selasa lalu. - FOTO ROSLI TALIB
Azulita cuba mengemudi jentera menuai padi ketika kunjungannya ke Tanjong Karang, Kuala Selangor pada Selasa lalu. - FOTO ROSLI TALIB

“Selain itu, bantuan lain seperti Subsidi Baja Padi Bukit sebanyak RM40 juta diperkenalkan semula dan Elaun Sara Hidup (ESH) dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan melibatkan peruntukan berjumlah RM151 juta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pelaksanaan Belanjawan 2021, Abd Rahman berharap ia dapat membantu keseluruhan sektor ekonomi termasuk pengusaha agromakanan kembali pulih, sekali gus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Kita juga berharap penghasilan beras tempatan meningkat kepada 75 peratus daripada penggunaan keseluruhan dalam beberapa tahun akan datang, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk luar,” katanya.

Abd Rahman turut menyarankan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memainkan peranan menggalakkan ahli Peladang mengambil peluang yang disediakan bagi memastikan jaminan bekalan makanan tidak putus.

Selain itu, beliau juga berharap kerajaan melanjutkan moratorium selama enam bulan secara pukal kepada semua peminjam di bank termasuk golongan petani yang terjejas pendapatan akibat Covid-19.

“Kita juga mohon kerajaan mengkaji pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk dijadikan modal bagi mereka menceburi bidang pertanian dan agro makanan terutama yang kehilangan pekerjaan tetapi berminat dalam sektor pertanian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim berkata, pihaknya menghargai usaha kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021.

Menurutnya, beberapa penekanan inisiatif yang diumumkan kerajaan dirangka dengan baik seperti sektor pertanian dan makanan yang memberi manfaat kepada petani, peladang serta nelayan.

“Keutamaan pihak kami buat masa ini adalah untuk pembangunan kelestarian ahli Peladang, antaranya memastikan rantaian nilai keseluruhan bekalan makanan negara tidak terputus.

“Rantaian nilai yang cekap dan berkesan mampu memberi jaminan bekalan makanan kepada semua masyarakat dan pada masa yang sama pendapatan peladang serta usahawan tani tidak berhenti,” katanya.

Azulita (kiri) dan Abd Rahman melihat padi di pusat pengumpulan padi. - FOTO ROSLI TALIB
Azulita (kiri) dan Abd Rahman melihat padi di pusat pengumpulan padi. - FOTO ROSLI TALIB

Selain itu, katanya, LPP melihat inisiatif utama iaitu projek pertanian organik berjumlah RM50 juta dan program ladang e-satelit bernilai RM10 juta memberi berita gembira kepada pertubuhan peladang dan seluruh masyarakat peladang yang berjumlah hampir 930, 000 ahli.

“Projek pertanian organik sebagai contoh, akan menggalakkan pengeluaran hasil sektor pertanian dengan mengeluarkan produk organik berkualiti dan selamat untuk dimakan bagi menampung keperluan bekalan makanan harian serta mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

Azulita berkata, projek pertanian organik memberi impak, antaranya menyediakan hasil pertanian bermutu tinggi kepada pengguna dan memberi pulangan lumayan melalui aktiviti pertanian bernilai tinggi dalam skala besar.

“Projek pertanian organik juga mampu menghasilkan produk pertanian yang dijamin berkualiti dan selamat dimakan,” katanya.

Menurutnya, bagi projek ladang e-satelit, sebanyak RM500,000 diberikan geran kepada 100 usahawan yang terlibat dalam projek berkenaan melibatkan peruntukan berjumlah RM5 juta.

“PPK Kuala Langat melaksanakan kaedah penanaman secara ladang satelit dengan menyatukan beberapa usahawan golongan B40 bagi melaksanakan tanaman secara berkelompok dan menjalankan usaha pertanian ke pasar raya besar.

“Program ini dilihat selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan sektor pertanian ke arah Revolusi Industri 4.0 dengan menggunakan teknologi terkini dalam membantu peningkatan pengeluaran agro makanan, menjimatkan kos, mengurangkan tenaga kerja dan meningkatkan daya saing serta kualiti produk dihasilkan,” kata Azulita.