Ayah dan RM175 jasa terbesar buat Sabri

 Sabri Yunus
Sabri Yunus
A
A
A

"Duit RM175 yang ayah bekalkan ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur untuk bekerja pada tahun 1982 amat besar jasanya sehingga berjaya mengetuk kesedaran dalam diri serta menjadi titik mula perubahan saya untuk menjadi lebih bertanggungjawab dalam mencari rezeki bagi membantu keluarga di kampung," kata pengarah, pelakon, pengacara yang juga pelawak terkenal tanah air, Sabri Yunus, 59.

Kongsinya ketika itu, ayahnya, Yunus Dollah memberikan wang berkenaan sebagai duit belanja untuk meneruskan hidup di ibu kota sehingga mendapat gaji selepas menerima tawaran kerja sebagai pelukis di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Namun katanya, setelah mendapat gaji pertama yang hanya berjumlah RM300 sebulan pada ketika itu, beliau masih tidak mampu untuk membayar semula duit RM175 yang diberikan ayahnya kerana kos kehidupan di ibu kota sangat tinggi pada ketika itu.

"Bukan gaji pertama saja, gaji kedua dan berikutnya saya masih tak mampu untuk bayar semula pada ayah walaupun dia tidak minta, malah setiap kali hendak balik ke kampung untuk bercuti, tiket bas pun masih ayah yang belikan pada ketika itu.

"Setiap kali hendak pulang ke Kuala Lumpur pula, ayah masih bantu saya dengan bekalkan keropok untuk dijual di pejabat dan duit yang diperoleh, saya tidak berikan kepada ayah sebaliknya gunakan untuk menampung kehidupan," katanya.

Allahyarham Yunus (kiri) merakamkan gambar bersama Datuk Seri A Samad Said ketika Sasterawan Negara itu 'dibawa pulang' ke rumah oleh Sabri pada 16 Februari 1996.
Allahyarham Yunus (kiri) merakamkan gambar bersama Datuk Seri A Samad Said ketika Sasterawan Negara itu 'dibawa pulang' ke rumah oleh Sabri pada 16 Februari 1996.

Sabri berkata, hatinya tersentuh dengan pengorbanan ayah walaupun sudah tua tapi masih terpaksa bersusah payah melakukan pelbagai kerja di kampung demi memastikan kelangsungan hidup anaknya yang bekerja di ibu kota.

"Dari situ saya mula sedar tentang perasaan ayah dan saya tahu saya tidak ada pilihan lain melainkan perlu berusaha lebih dan memikirkan cara untuk mengembangkan pendapatan supaya dapat membantu ayah dan keluarga di kampung.

Artikel Berkaitan:

"Kesedaran itu timbul dan saya terfikir mengapa tidak gunakan kelebihan minat serta bakat seni dalam diri untuk menjana pendapatan. Setelah itu saya mula melibatkan diri dengan teater, kemudiannya lakonan sehingga menjadi tetamu undangan dalam sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan memperoleh bayaran pertama RM500.

"Wang RM500 itu saya tidak ambil satu sen pun sebaliknya saya beri kesemuanya kepada ayah....Itulah duit pertama yang saya dapat berikan kepada ayah dan menjadi rezeki pertama buat ayah setelah empat tahun saya bekerja di ibu kota," katanya memberitahu perkara itulah yang sering membuatnya terkenang dan menghargai betapa besar dan pentingnya jasa ayah sehingga membentuk peribadinya pada hari ini.

Katanya, beliau juga percaya dari rezeki pertama yang dihadiahkan kepada ayahnya itu telah memberi keberkatan dalam kehidupannya sehingga beliau memperoleh banyak peluang untuk melebarkan bakat seni yang dimilikinya.

"Saya terus menimba pengalaman dan pengetahuan dengan orang-orang hebat, mendalami setiap perkara dengan sebaiknya hingga mula membentuk keperibadian baharu dan kecintaan terhadap dunia seni.

"Ia lebih daripada sekadar untuk menampung kehidupan keluarga dan diri tetapi kini sudah menjadi jiwa. Saya sangat berterima kasih dengan pengalaman yang saya lalui kerana ia memberi keselesaan pada diri saya sekarang bukan dari segi kewangan tetapi dari segi pemikiran serta pegangan," katanya.

Sabri ketika mula menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur setelah mendapat tawaran bekerja di DBP pada tahun 1982.
Sabri ketika mula menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur setelah mendapat tawaran bekerja di DBP pada tahun 1982.

Katanya, beliau melihat apa yang berlaku sebagai titik penting di mana ALLAH mahu menyedarkannya dan menggerakkan dirinya untuk menjadi lebih baik.

"Ia buat saya mengenang semula apa yang sudah saya lakukan sewaktu remaja, kenakalan saya terhadap orang tua dan apabila berada di Kuala Lumpur walaupun saya memiliki pekerjaan yang baik tetapi gaji tidak mencukupi serta tidak boleh membantu keluarga, akhirnya menyedarkan saya untuk berubah dan berbuat sesuatu.

"Apa yang saya berjaya capai juga tidak boleh saya katakan sebagai sudah membalas jasa kedua ibu bapa tetapi saya lebih melihat ia sebagai satu tanggungjawab yang harus saya lakukan untuk membersihkan sedikit kenangan hitam dalam hati ayah dan emak, sekaligus menggembirakan mereka.

"Akhirnya saya teruskan minat terhadap dunia seni dan ia berikan ruang untuk saya bekerja lebih kuat dan mencari rezeki lebih untuk membantu keluarga," katanya.

Rindu aura ayah

Sabri berkata, kini sudah hampir 12 tahun ayahnya pulang ke rahmatullah setelah lama menderita sakit strok, namun aura lelaki itu amat dirinduinya.

"Ketika kematiannya saya tiada di sisi kerana berada di Terengganu untuk mengacarakan Majlis Penutupan Sukan Malaysia (Sukma), namun sempat pulang menatap wajahnya buat kali terakhir dan mengiringi jenazahnya untuk dikebumikan.

"Tiada tangisan atau kesedihan pada waktu itu kerana saya tahu ayah sudah lama sakit, namun kehilangannya amat terasa sekali," katanya.

Sabri ketika di set penggambaran drama terbaru arahannya sempena hari Ibu 2021 bertajuk 'Amma'.
Sabri ketika di set penggambaran drama terbaru arahannya sempena hari Ibu 2021 bertajuk 'Amma'.

Sabri berkata, ayahnya banyak memberi idea kepada beliau dan kebanyakan penulisan-penulisan atau dialog-dialog dalam karya yang dihasilkannya juga adalah konsep falsafah yang dikutip dan diinspirasikan daripada bapanya.

"Semua kata-kata itu datang daripada ayah kerana ayah sering berkias dan berfalsafah dalam tutur katanya.

"Malah ayah juga mempunyai kecintaan dan bakat dalam seni, dia gemar mengukir dan banyak mengumpul barangan besi seperti pisau dan keris. Kesemua barangan ayah ini termasuk pakaian kini menjadi milik saya dan saya mendapat restu daripada ibu, Semah Mamat serta adik-beradik untuk menyimpan koleksi barangan ayah," katanya.