X

Kindly register in order to view this article
!

Perang Iran-AS, siapa paling kuat?

Tentera Iran mengadakan latihan di kawasan pantai di Selat Hormuz di selatan negara itu.
A
A

DESAS-desus bahawa Amerika Syarikat (AS) yang masih dipimpin oleh Presiden Donald Trump sehingga Januari tahun depan akan menyerang Iran semakin hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Kebimbangan serangan terhadap Iran itu telah didedahkan oleh akhbar New York Times baru-baru ini.

Trump dilaporkan diberikan amaran oleh beberapa pegawai kanan AS yang menentang serangan tersebut yang disasarkan ke atas kemudahan-kemudahan nuklear di negara berkenaan. Ini kerana serangan itu dijangka mencetuskan konflik yang lebih besar di rantau Asia Barat.

Cadangan menyerang Iran itu dibuat selepas berlakunya satu serangan udara oleh tentera AS di sebuah lapangan terbang di Baghdad, Iraq yang mengakibatkan seorang pegawai tentera Tehran, Mejar Jeneral Qassim Soleimani terbunuh pada awal tahun ini.

Iran kemudian melancarkan satu serangan peluru berpandu balistik dengan menyasarkan askar-askar AS bagi membalas dendam terhadap serangan tersebut. Serangan itu menyebabkan berpuluh-puluh askar AS cedera di Iraq.

Ketegangan antara kedua-dua buah negara semakin memuncak apabila AS di bawah pimpinan Trump menarik diri daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) antara kuasa-kuasa besar dunia dengan Iran pada tahun 2018.

Perjanjian itu bertujuan untuk mengehadkan program tenaga nuklear Iran selain meningkatkan pemantauan terhadap program tersebut supaya negara berkenaan tidak mengeluarkan senjata nuklear dan sebagai pertukaran, Tehran tidak akan dikenakan sekatan antarabangsa.

Bagaimanapun, AS seperti tidak berpuas hati dengan Iran. Trump masih mahu negara tersebut dikenakan sekatan antarabangsa.

AS kemudian menyenaraihitamkan sebuah yayasan yang dikawal oleh Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan menjadikan penderaan hak asasi manusia yang didakwa dilakukan oleh Iran ketika memerangi para penunjuk perasaan antikerajaan setahun lalu sebagai alasannya yang terbaharu mengenakan sekatan.

Iran mempunyai peluru berpandu Shahab 3 yang boleh menjangkau sasaran 2,000 kilometer.
Iran mempunyai peluru berpandu Shahab 3 yang boleh menjangkau sasaran 2,000 kilometer.

Melalui sekatan itu, rakyat AS dilarang melakukan urus niaga dengan anak-anak syarikat yayasan tersebut yang menjalankan perniagaan dalam bidang tenaga, perlombongan dan perkhidmatan kewangan.

Bagaimanapun, menurut portal berita The New Arab pada 19 November lalu, Iran mengaku melanggar perjanjian JCPOA yang ditandatanganinya pada tahun 2015.

Ia mengaku melanggar perjanjian itu berhubung proses pengayaan uranium di loji Natanz, tengah Iran selepas perlanggaran tersebut disahkan oleh sebuah badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Iran dikatakan banyak kali melanggar perjanjian tersebut selepas Washington menarik diri daripada JCPOA.

Berikutan ketegangan yang semakin memuncak itu, Iran turut melakukan persediaan untuk menghadapi serangan tentera daripada kuasa besar AS.

Pada 19 November lalu, portal berita The Drive melaporkan, Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran mendedahkan sebuah kapal perang tentera yang boleh membawa helikopter, dron, bot laju selain dilengkapi dengan peluru berpandu dari permukaan ke udara.

Tentera Iran juga disenaraikan sebagai yang ke-14 terkuat di dunia daripada 137 buah negara pada tahun 2019 berdasarkan kepada portal Global Firepower and Business Insider.

Negara itu juga dilaporkan mempunyai kira-kira 523,000 anggota tentera yang aktif dan 350,000 askar simpanan dan angkatan tenteranya adalah yang terbesar di Asia Barat.

Kekuatan tentera Iran merupakan yang ke-14 terkuat di dunia.
Kekuatan tentera Iran merupakan yang ke-14 terkuat di dunia.

Iran juga mempunyai kira-kira 1,634 kereta kebal menduduki ranking ke-18 daripada 137 buah negara.

Ia juga memiliki 2,345 kenderaan tempur berperisai dan 1,990 pelancar roket.

Tentera Laut Iran juga dilaporkan mempunyai 34 buah kapal selam, 88 buah bot peronda, enam kapal frigat dan tiga kapal perang kecil. Setakat ini, negara tersebut dikatakan tidak mempunyai senjata nuklear.

Tentera Udara Iran juga dikatakan mempunyai 509 pesawat, menurut laporan The National Interest. Negara itu diiktiraf mempunyai sistem peluru berpandu jarak sederhana dan pendek paling maju di rantau Asia Barat.

Menurut Institut Kajian Strategik Antarabangsa, sebuah peluru berpandu Shahab 3 boleh bergerak sejauh 2,000 kilometer dan mampu sampai ke Israel.

Bagaimanapun, tentera AS yang sememangnya dikenali mempunyai banyak peralatan peperangan canggih seperti jet-jet pejuang, senjata nuklear, kenderaan berperisai dan kapal selam dilaporkan mempunyai lebih satu juta askar yang aktif.

Askar AS turut dianggarkan mempunyai lebih daripada 50,000 anggota yang ditempatkan di Asia Barat. Justeru, kekuatan ketenteraan jika dibandingkan dengan AS, sudah pasti Iran jauh ketinggalan.

Namun, jika peperangan berlaku pada hari-hari terakhir Trump menjadi Presiden, ia merupakan satu sejarah hitam bukan sahaja kepada Asia Barat tetapi juga dunia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!