Signifikasi APEC 2020

Muhyiddin (tengah) ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) APEC secara maya. - Foto Bernama
Muhyiddin (tengah) ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) APEC secara maya. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PERSIDANGAN Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 yang diadakan pada 20 November telah mencipta sejarah kerana buat kali pertama diadakan secara dalam talian. Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah dan ia kali kedua selepas tahun 1998.

Pemimpin negara-negara APEC telah berjumpa dan berbincang secara virtual atau maya. Persidangan antarabangsa yang diadakan secara dalam talian sudah menjadi norma baharu akibat pandemik koronavirus (Covid-19). APEC merupakan forum ekonomi yang terdiri daripada 21 buah negara antaranya Malaysia, Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Peru, Chile, Australia, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Brunei. Malaysia telah menganjurkan Persidangan APEC dengan jayanya walaupun ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

Persidangan APEC 2020 telah menyaksikan beberapa signifikasi. Pertama, tema 'Mengoptimumkan Potensi Insan Ke Arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran.’ Ia merupakan kesinambungan kepada Bogor Goals iaitu matlamat yang telah dipersetujui semasa Persidangan APEC di Bogor, Indonesia pada tahun 1994, antaranya menjadikan tahun 2020 titik tolak operasi perdagangan bebas di rantau Asia Pasifik.

Persidangan APEC 2020 menyaksikan kerjasama multilateral dalam membanteras penularan Covid-19. Ia tidak hanya tertumpu kepada hal-hal perdagangan tetapi usaha pemulihan ekonomi akibat Covid-19. Selain itu, tema Persidangan APEC 2020 dipilih bagi mencerminkan ketahanan, ketangkasan dan pertumbuhan ekonomi inklusif wilayah Asia Pasifik melalui konsep Perkongsian Kekayaan atau ‘Shared Prosperity’ semasa pandemik Covid-19.

Kedua, persidangan secara dalam talian telah mengubah kaedah penganjuran persidangan yang akan datang. Pemimpin negara dan diplomat tidak lagi perlu berulang-alik dari satu ibu kota ke ibu kota yang lain kerana segala perbincangan boleh diadakan secara maya. Ia pasti meningkatkan peranan e-diplomasi atau diplomasi digital kerana isu-isu dasar luar, misalnya rundingan dapat diadakan tanpa batasan sempadan dan pengangkutan.

Sebenarnya, dalam era globalisasi konsep e-diplomasi bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah mula dipelopori Jabatan Negara AS pada tahun 2002 apabila pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengkaji kebolehgunaan digital dan elektronik dalam urusan diplomasi seperti rundingan serta persidangan ketua-ketua kerajaan.

Pada peringkat awal sehingga kini, masih ramai pemimpin kurang yakin dengan e-diplomasi. Namun, ia berubah apabila tercetusnya pandemik Covid-19.

Selain itu, negara tuan rumah tidak lagi perlu bimbang isu-isu logistik seperti tempat penginapan, pengangku-tan, protokol dan majlis makan malam kerana tidak lagi melibatkan kehadiran fizikal delegasi luar negara.

Artikel Berkaitan:

Keselamatan

Satu lagi perkara yang sering menjadi kebimbangan bagi mana-mana negara yang menganjurkan Persidangan APEC adalah menjamin keselamatan 21 orang pemimpin APEC, khasnya Presiden AS yang memerlukan kawalan keselamatan amat ketat dan delegasinya.

Bagaimanapun, diplomasi dan persidangan dalam talian tidak akan menggantikan kaedah berdiplomasi secara konvensional kerana e-diplomasi tetap mempunyai beberapa kekangan seperti tidak mampu menyediakan pertemuan bersemuka dan pengalaman bersama.

Ketiga, Persidangan APEC 2020 signifikan kerana ia kali pertama bagi sesetengah pemimpin menghadirinya sebagai ketua kerajaan seperti Yoshihide Suga (Perdana Menteri Jepun), Andrés Manuel López Obrador (Presiden Mexico), Nguyen Phu Trong (Presiden Vietnam) termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku tuan rumah.

Pada masa yang sama, Persidangan APEC 2020 juga merupakan persidangan antarabangsa terakhir bagi Presiden AS, Donald Trump sebelum beliau terpaksa menyerahkan kuasa kepada Joe Biden pada Januari 2021.

Pandemik Covid-19 merupakan masalah yang paling mencabar bagi APEC sejak persidangan pertama di Australia pada tahun 1989. Ia menyebabkan ramai kematian dan ekonomi merosot dengan teruk. Oleh itu, isu Covid-19 pasti menjadi agenda utama pada Persidangan APEC 2020.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya