Tindakan DBKL wajar dicontohi

No Image Caption
A
A
A

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah mengeluarkan dua kenyataan yang menarik perhatian saya. Pertama, DBKL membenarkan perniagaan di sekitar Kuala Lumpur tanpa perlu memohon lesen tertentu seperti lazim dan yang kedua, mengawal penjualan arak di kedai-kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat.

Terima kasih kepada menteri berkenaan dan DBKL atas keprihatinan terhadap isu rakyat. Dalam tempoh pandemik koronavirus (Covid-19), rakyat terpaksa mengharungi kesusahan, malah golongan yang dahulunya termasuk dalam kategori T20 mungkin kini berada dalam kategori B40. Itulah yang kita perhatikan termasuklah baru-baru ini tular seorang juruterbang kini terpaksa membuka warung makanan demi mencari sesuap nasi yang halal.

Dengan dasar baharu itu akan memudahkan mereka yang kehilangan pekerjaan mencari rezeki tanpa banyak birokrasi dan bayaran fi yang tinggi. Ketika inilah rakyat memerlukan kemudahan itu dan sewajarnya kerajaan tidak membuat pelbagai kerenah menyusahkan rakyat. Peliknya, ada wakil rakyat yang menentang usaha itu atas alasan tidak mahu menjadikan Kuala Lumpur seperti kawasan lain yang mungkin difikirkannya lebih mundur.

Kemiskinan bukan hanya berlaku di kawasan luar bandar tetapi juga di dalam bandar termasuk kota metropolitan Kuala Lumpur. Janganlah hanya untuk menjaga imej kota raya, rakyat merana di bandar raya.

Isu kedua iaitu penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat, sebenarnya ia bukanlah suatu larangan. Ia lebih kepada kawalan jua-lan arak. Ia masih boleh dijual di restoran orang bukan Islam, bar dan hotel. Apa yang dilakukan DBKL adalah hanya mengurangkan akses pembelian arak kepada orang awam.

Kawalan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan penjualan arak kepada pihak yang tidak sepatutnya membeli arak seperti orang Islam dan kanak-kanak. Amatlah malang apabila ada yang menyatakan kawalan itu akan memberi kesan negatif kepada ekonomi dan mengurangkan cukai. Ia memberi gambaran seolah-olah negara sangat bergantung kepada hasil penjualan arak bagi membangunkan negara.

Tindakan DBKL bukanlah langkah yang mundur tetapi menjaga maslahah yang lebih besar. Ia juga sejajar dengan pendirian kerajaan menaikkan huku-man kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Tidak timbul sama sekali hak orang bukan Islam untuk meminum arak dinafikan. Tindakan DBKL hanyalah bersifat kawalan. Jika kita bercakap mengenai hak minum arak, pasti kita tidak akan mendapati mana-mana undang-undang secara spesifik memberikan hak kepada sesiapa pun meminum arak.

Artikel Berkaitan:

Ia sebenarnya bukan hak tetapi hanyalah keistimewaan. Setiap keistimewaan boleh dikawal, ditarik balik ataupun dihazarkan. Malah, hak tidak diberikan secara tanpa had kerana jika hak diberikan secara semberono, ia sudah pasti akan menghakis hak orang lain pula yang akhirnya akan memberi impak negatif kepada masyarakat dan negara.

Saya menyeru pihak berkuasa tempatan yang lain meneladani tindakan DBKL yang jelas mahu menyejahterakan rakyat sama ada dalam mencari rezeki halal atau bagi menjaga nyawa daripada diragut pemandu mabuk.

Saya mengalu-alukan tindakan tersebut yang tidak hanya melihat kesengsaraan rakyat daripada mata helang tetapi turut merasai denyut nadi masyarakat awam.

Hari ini bukan masanya untuk mengumpul kekayaan tetapi rata-rata rakyat bercakap tentang survival ummah akibat Covid-19. Pihak kerajaan perlu mengurangkan birokrasi bagi mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan negara.

Saya berharap isu tersebut tidak dipolitikkan atau ditimbulkan isu tidak berkaitan seperti perkauman dan rasis. Demi kesejahteraan negara, Malaysia perlu terus memainkan peranan proaktif bagi menjaga kebajikan rakyat.

* Datuk Zainal Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia