X

Kindly register in order to view this article
!

Cetak duit bukan penyelesaian

A
A

ADALAH kebiasaan bagi bank pusat termasuk bank pusat kita iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) mencetak wang kertas. Untuk nilai kecil, wang syiling masih dikeluarkan oleh sesetengah negara walaupun kadangkala kos penempaan lebih mahal daripada nilai mukanya.

Namun, dalam penggunaan mata wang, lagi kerap ia bertukar tangan untuk membeli barang-barang atau mendapatkan perkhidmatan, maka nilainya akan berganda. Misalnya, wang kertas RM1 jika bertukar tangan 10 kali akan menjadikan nilai transaksinya RM10. Lagi kerap digunakan bertambah kukuh nilainya.

Jadi, yang lebih utama bukan jumlah sesuatu mata wang tetapi kekerapan ia digunakan bagi tujuan yang produktif. Jika mata wang digunakan semata-mata untuk membeli-belah iaitu bagi tujuan kepenggunaan harian, nilainya tetap ada tetapi tidaklah tinggi.

Sebaliknya, jika ia digunakan bagi tujuan lebih produktif seperti menghasilkan barang, alat kelengkapan industri dan perkhidmatan, maka nilainya akan meningkat. Oleh itu, keutamaan kita haruslah mengimbangkan pengawalan wabak koronavirus (Covid-19) dengan pembukaan semula ekonomi.

Cadangan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya kerajaan mencetak lebih banyak duit untuk dibahagi-bahagikan kepada rakyat jelata bagi tujuan berbelanja bukanlah penyelesaian, sebaliknya boleh menjadi punca masalah yang lebih buruk.

Kalau setakat menambah bantuan wang tunai kepada rakyat miskin yang tertekan akibat kemelesetan ekonomi, rasanya kerajaan tidak perlu mencetak lebih banyak duit.

Tidak pula kedengaran Malaysia mengalami masalah kekurangan wang dalam edaran (money in circulation). Malah, mengikut laporan terbaharu BNM, jumlah wang dalam edaran bagi tahun 2019 meningkat sebanyak 3.6 peratus.

Masalah

Walaupun ia lebih rendah daripada 7.9 peratus purata lima tahun sebelumnya, ia sejajar dengan pertumbuhan ekonomi. Punca peningkatan yang lebih rendah itu adalah perlua-san pembayaran elektronik.

Lagipun dalam suasana ekonomi Malaysia telah jatuh ke dalam kategori kemelesetan (recession) dan banyak pekerja hilang mata pencarian, permintaan terhadap mata wang turut berkurangan. Jadi, tidak timbul keperluan mencetak lebih banyak mata wang.

Seperkara lagi, cadangan Wan Ahmad Fayhsal itu bukanlah baharu. Ia telah dilaksanakan beberapa negara dengan hasil yang amat merugikan.

Duit ada, namun nilainya tiada kerana yang dikeluarkan dengan lebih banyak bukan barang-barang keperluan tetapi duit kertas. Pendek kata, duit bertambah, barang-barang tidak bertambah. Akibatnya berlakulah inflasi yang tinggi.

Contoh klasik kegagalan kaedah yang dicadangkan itu ialah Zimbabwe di Afrika dan Venezuela di Amerika Selatan.

Dua negara itu asalnya kaya tetapi menjadi muflis kerana pemerintahan yang hambar. Akibat dasar ekonomi dan mata wang yang sangat lemah oleh kerajaan kuku besi, inflasi dua negara itu melangit.

Misalnya, pada tahun 2008, inflasi di Zimbabwe naik 231,000,000 peratus. Maksudnya, aiskrim yang sebelumnya berharga satu dolar Zimbabwe naik menjadi 231 juta dolar.

Tidak masuk akal dan kita mungkin ketawa. Hakikatnya, ia kejadian sebenar. Akhirnya mulai 15 Jun 2015, mata wang dolar Zimbabwe dihapuskan dan diganti sementara dengan dolar Amerika dan dolar Afrika Selatan. Pada Jun 2019, dolar baharu Zimbabwe, RTGS diperkenalkan.

Begitu juga dengan Venezuela. Inflasi hyper memaksanya membatalkan mata wang bolivar fuerte bagi digantikan dengan bolivar soberano. Inflasi negara itu memuncak pada kadar 65,374 peratus pada tahun 2018. Sekarang ia berlegar sekitar 15,000 peratus.

Hanya sebuah negara di dunia berjaya menambah kekayaan dengan mencetak duit iaitu Amerika Syarikat (AS) kerana dunia ketagih dolar Amerika. Lebih 80 peratus perdagangan dunia menggunakan mata wang itu.

Malang bagi Wan Ahmad Fayhsal, beliau bukan Timbalan Menteri Belia dan Sukan AS. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!