X

Kindly register in order to view this article
!

Menanti kemunculan vaksin Covid-19

A
A

BERITA mengenai kemunculan vaksin Covid-19 yang dijangka boleh digunakan oleh rakyat seluruh dunia seawal suku pertama tahun depan sememangnya dinanti-nantikan selama ini.

Berdasarkan data yang ada setakat ini menunjukkan 11 jenis vaksin kini sudah berada pada peringkat ujian klinikal fasa ketiga.

Empat daripada vaksin berkenaan adalah dari China, enam dari negara barat termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia serta satu dari Russia.

Seperti dengan negara-negara lain, Malaysia tidak ketinggalan dan amat memerlukan vaksin itu setelah mengambil keputusan untuk menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, Covax.

Bagi memperoleh sebahagian daripada bekalan vaksin yang diperlukan terhadap wabak itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan kerajaan sedang membincangkan terma penyertaan Malaysia itu dengan Pakatan Vaksin Global (GAVI) yang mengendalikan Covax.

Menurut Lidah Pengarang Sin Chew Daily, kerajaan Malaysia juga sedang menyediakan perjanjian untuk menyertai Gabungan Bagi Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI) dan perjanjian kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama kerajaan China untuk mendapatkan akses kepada vaksin yang dibangunkan oleh syarikat dari negara itu.

“Pfizer Inc dan BioNTech SE dikatakan sudah memperoleh kejayaan yang memberangsangkan apabila mendakwa vaksin yang diciptakan mereka mempunyai keberkesanan 90 peratus. Ini sememangnya satu perkembangan yang menggembirakan kita.

“Selain itu, banyak lagi syarikat-syarikat dalam dunia seperti Gamaleya Research Institute yang mengeluarkan vaksin juga telah melepasi (ujian klinikal) yang kemungkinan boleh berikan pelalian atau vaksin untuk digunakan oleh rakyat Malaysia,” tulis akhbar itu.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, berdasarkan laporan terkini, terdapat 10 calon syarikat terkemuka pengeluar vaksin di dunia telah melepasi ujian klinikal fasa ketiga dalam membangunkan vaksin Covid-19.

“Sekiranya segala perancangan itu dijalankan dengan lancar, wabak Covid-19 yang telah menghantui seluruh dunia sejak awal tahun ini pastinya akan dimatikan pada tahun hadapan.

“Bagaimanapun, kita perlu juga mengambil sikap berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak terduga. Perolehan vaksin kepada di negara kita perlulah lebih berwaspada terhadap kualiti dan keselamatan.

“Kita telah melihat berlaku di beberapa buah negara apabila beberapa orang disahkan meninggl dunia setelah gagal menerima ujian suntikan vaksin Covid-19. Implikasinya boleh terjadi kepada kita,” jelas akhbar itu lagi.

Satu lagi persoalan ialah siapa individu atau kumpulan mana yang perlu diutamakan untuk diberikan vaksin apabila ia mendapat pengesahan boleh digunakan.

“Kerajaan seharusnya menyenaraikan lebih awal individu atau kumpulan yang tersasar memandangkan jumlah vaksin itu agak terhad sedangkan permintaan di peringkat global amatlah tinggi.

“Sekiranya diberi pilihan, sudah tentu kumpulan ‘frontliners’ seperti doktor, jururawat, anggota polis, tentera dan sebagainya akan diberi keutamaan,” tulis Sin Chew Daily lagi.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!