X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin Covid-19: Malaysia tunggu data ujian klinikal

Dr Noor Hisham pada sesi taklimat khas bersama media mengenai perkembangan semasa Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.- Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia sedang menunggu data ujian klinikal fasa ketiga daripada semua syarikat pengeluar vaksin koronavirus (Covid-19) sebelum membuat keputusan mengenai perolehan serta penggunaannya di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data daripada ujian klinikal itu penting bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) memastikan vaksin digunakan selamat dan berkesan.

"Setakat ini terdapat 12 syarikat pengeluar vaksin Covid-19 sedang menjalankan ujian klinikal fasa ketiga. Kita tidak tahu vaksin yang dikeluarkan berkesan atau tidak kerana data ujian klinikal fasa ketiga belum diterbitkan lagi.

“Apabila dapat data, baru boleh dipertimbangkan penggunaannya dan setakat ini kami hanya dengar keberkesanannya melalui laporan media sahaja,” katanya dalam Taklimat Khas Covid- 19 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli.

Menurutnya, vaksin Covid-19 yang ada ketika ini masih belum berdaftar dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat.

“Banyak syarikat yang belum habis jalankan penyelidikan lagi dan sebab itu kami perlu kaji dengan teliti mengenai vaksin ini.

“Vaksin ini sama seperti ubat, ia perlu didaftarkan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tiada jangkaan bila pandemik Covid-19 akan berakhir dan KKM akan terus melaksanakan tindakan kesihatan awam bagi memastikan jangkitan dapat dikurangkan.

“Kaedah kesihatan awam seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat telah berjaya elakkan daripada kes melonjak secara mendadak... apa yang pasti jika tiada kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) penyakit ini akan terus menular,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!