Martabatkan bahasa Melayu tinggi

No Image Caption
A
A
A

SUDAH lama kita tidak mendengarkan istilah bahasa baku. Mungkin juga jika disebutkan kepada anak-anak zaman kini, mereka mungkin tidak lagi memahami apakah maksud bahasa baku. Malahan timbul juga kekeliruan tentang istilah bahasa baku dan bahasa standard.

Perkataan “baku” sebenarnya berasal daripada perkataan Jawa yang bermaksud “yang (sudah) diterima umum sebagai betul. Sah dan dapat dijadikan asas perbandingan.” (Kamus Dewan).

Jadi, menggunakan bahasa baku mampu menterjemahkan komunikasi yang baik, betul dan berkesan. Ini disebabkan bahasa baku atau juga dikatakan bahasa standard yang sempurna dari aspek-aspek kebahasaannya seperti ejaan, tatabahasa, istilah, penggunaan kata, laras bahasa dan sebutan.

Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu telah dilakukan sekian lama. Kerajaan Sriwijaya telah menggunakan bahasa Melayu semenjak abad ketujuh.

Kerajaan Melaka pula telah mengangkat bahasa Melayu ke tahap kegemilangan pada abad ke-13 bersesuaian dengan statusnya sebagai pusat perdagangan serantau ketika itu.

Perkembangan bahasa Melayu yang terjadi ketika itu seiring dengan perkembangan kebudayaan, pembaharuan material dan kerohanian yang mendukung konsep-konsep baharu dalam masyarakat.

Di bawah Akta Pendidikan dan perlembagaan negara, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Sekolah dilihat sebagai tapak semaian terbaik untuk anak-anak ditaburi benih dan dibajai agar mencintai bahasa Melayu dari peringkat asas pendidikan.

Jika ditinjau senario di sekolah, terdapat ramai guru yang mampu mengajarkan bahasa Melayu dengan baik tidak kiralah mereka ini mempunyai opsyen pengajian khusus dalam bahasa Melayu atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Namun, bagaimana pula dengan kemahiran, penerimaan dan pengamalan mereka dalam bahasa Melayu tinggi?Bahasa Melayu tinggi menurut Nik Safiah Karim ialah bahasa yang digunakan untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran yang teknikal serta berfungsi sebagai sarana budaya tinggi. Ada dua perkara utama untuk memastikan penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu tinggi, iaitu keintelektualan bahasa dan kesempurnaan bahasa.

Gramatis

Abdullah Hassan menyatakan bahasa Melayu tinggi menekankan dua aspek, iaitu peraturan bahasa dan peraturan tatabudaya. Aspek peraturan bahasa meliputi sebutan, ejaan, perkataan, ayat dan kerapian makna.

Aspek peraturan tatabudaya pula merangkumi penggunaan kata ganti nama, sistem gelaran dan panggilan yang bersesuaian dengan taraf sosial orang yang berkomunikasi serta pemilihan kata sesuai dengan konteks.

Dalam kalangan budayawan, bahasa Melayu tinggi diterima sebagai bahasa yang mendukung budaya tinggi dan ditafsirkan sebagai cerminan intelektual dan pemikiran akademia penutur dan masyarakat sekeliling.

Penggunaan bahasa Melayu tinggi menekankan kegramatisan berbahasa. Ini bermakna ayat-ayat yang digunakan adalah lengkap dari segi tatabahasa, subjek dan predikat, imbuhan dan tanda baca yang sempurna dan tepat, serta kata penerang pada tempat yang menunjukkan hubungan sintaktik yang betul.

Dari segi teorinya, kedengaran agak mudah apabila membicarakan tentang bahasa Melayu tinggi. Tetapi bagaimana pula dari aspek realiti sebenar dalam masyarakat?

Jika ditanyakan secara jujur kepada khalayak, adakah wujud satu tempat, premis atau organisasi di negara kita yang boleh dijadikan sebagai model budaya pengamalan bahasa Melayu tinggi hatta di institusi-institusi pengajian tinggi negara kita?

Mungkin ramai yang akan menjawab Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai lokasi yang tepat untuk dijadikan model atau suri teladan pengamalan bahasa Melayu tinggi di negara kita.

Namun, ada juga suara-suara nakal mempersoalkan, pernahkah kajian dilakukan untuk melihat sejauh mana pengamalan bahasa Melayu tinggi dalam Dewan Bahasa dan Pustaka itu sendiri? Jika ada, cukupkah dengan sekadar peranan Dewan Bahasa dan Pustaka, bagaimana pula peranan dan pengamalan institusi-institusi awam yang lain?

Jika kita membuat tinjauan dan kajian dalam kehidupan seharian masyarakat, diburukkan lagi dengan keluwesan digital yang disalah gunakan.

Muncul istilah-istilah yang mungkin selama ini kita tidak pernah dengari dan istilah-istilah ini bukan sahaja dituturkan oleh anak-anak di bangku persekolahan malahan dalam kalangan penutur dewasa juga.

Bahasa itu pula dianggap lebih mesra, mudah tular dan mendekatkan masyarakat serta lebih mudah diterima sebagai budaya berbanding bahasa Melayu tinggi yang dianggap milik “orang-orang bahasa” sahaja.

Bahasa Melayu sekadar dianggap sebagai bahasa mata pelajaran yang diajarkan di sekolah untuk murid-murid lulus peperiksaan dan mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semata-mata.Mengutarakan isu ini tidak akan ada penyelesaiannya dengan menuding jari ke arah mana-mana pihak. Setiap entiti mempunyai kekangan dan peranan tersendiri.

Kewujudan masyarakat berbilang kaum dan etnik di negara kita jika dipandang dari satu sudut merupakan satu perkara yang unik dan menjadi salah satu tarikan pelancong ke negara kita. Kepelbagaian budaya seperti penggunaan dialek, bahasa dan warisan kehidupan seharian menjadi identiti setempat yang harus dikekalkan.

Memartabatkan bahasa Melayu tinggi tidak bermaksud menghapuskan keistimewaan dan keunikan lokal.

Harus difikirkan apakah kaedah lebih sesuai untuk menjadikan bahasa Melayu tinggi sebagai bahasa sohor kini yang diterima dan mampu mendekatkan masyarakat dalam konteks masyarakat majmuk di negara kita, sekurang-kurangnya dalam lingkungan premis persekolahan dan institusi pengajian sama ada awam mahupun swasta.

Isu-isu berkaitan bahasa juga perlu dipandang serius oleh pemeran utama pentadbiran negara dan tidak semata-mata berlandaskan kepentingan politik sahaja.

Jangan pula pejuang-pejuang bahasa dianggap sebagai “gunting dalam lipatan” merosakkan keharmonian negara, sebaliknya merekalah jarum dan benang yang berusaha keras menjahit semula perca-perca peradaban dan jati diri bangsa daripada terus koyak dimamah serakah peredaran masa.

*Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia