Capaian internet terhad, pelajar di PPS terjejas

Nor Ain Liyana (kiri) dan Nur Syazana sukar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian berikutan capaian internet yang terhad di PPS SK Parit Aman, Bagan Serai.
Nor Ain Liyana (kiri) dan Nur Syazana sukar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian berikutan capaian internet yang terhad di PPS SK Parit Aman, Bagan Serai.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kemudahan dan rangkaian internet yang terhad menyukarkan sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

Pelajar, Nor Ain Liyana Saifulnizam, 17, berkata, capaian internet terhad di pusat itu menyebabkan dia hanya dapat mengikuti sebahagian subjek Sejarah yang ditonton menerusi Youtube.

“Talian telefon juga sukar di kawasan ini dan sepatutnya saya mengikuti kelas Sejarah bermula jam 11 pagi hingga 1 petang hari ini tetapi dapat bersama separuh sahaja.

“Pelbagai cara saya gunakan termasuk berada di kawasan tinggi atau di tepi jalan tapi akhirnya saya tutup telefon bimbit dan belajar sendiri sahaja,” katanya ketika ditemui di PPS SK Parit Haji Aman di sini hari ini.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al-Baqir itu bersama ibu dan adiknya dipindahkan ke pusat berkenaan selepas rumahnya di Parit Air Hitam 3 dinaiki air.

“Ini pertama kali keluarga kami ditempatkan di pusat ini. Saya terpaksa memindahkan barang sebelum mengikut jadual pembelajaran dalam talian dan mengambil modul subjek di sekolah.

“Kalau ada kemudahan internet memang kami sangat gembira, lagipun saya perlu mengikuti subjek yang tertinggal sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikenakan sebelum menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan,” katanya.

Capaian internet yang terhad di PPS SK Parit Aman, Bagan Serai menyebabkan sebagian pelajar sukar mengikut kelas dalam talian termasuk Nor Ain Liyana (kiri) dan Nur Syazana.
Capaian internet yang terhad di PPS SK Parit Aman, Bagan Serai menyebabkan sebagian pelajar sukar mengikut kelas dalam talian termasuk Nor Ain Liyana (kiri) dan Nur Syazana.

Artikel Berkaitan:

Pelajar Tingkatan Tiga, Nur Syazana Mohd Zaizulham, 15, juga mengakui gembira sekiranya ada pihak dapat menyediakan kemudahan internet di PPS.

“Ini kali ketiga kami ditempatkan di pusat ini dalam tahun ini selepas rumah selalu dinaiki air. Tempoh tinggal di sini tidak menentu, pernah sehingga seminggu.

“Apabila disediakan kemudahan, kami boleh belajar dengan selesa. Lagipun saya menggunakan telefon bimbit ibu dan belajar sehingga dua jam setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya akan meneliti situasi dihadapi pelajar yang terjejas mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian ketika ditempatkan di PPS.

“Mengikuti data, lebih 50 peratus pelajar seluruh negeri tidak boleh mengakses capaian internet bagi mengikuti pembelajaran dalam talian.

“Bagaimanapun, pihak sekolah ada menggunakan alternatif dengan menyediakan modul latihan dan nota secara manual yang perlu diambil pelajar di sekolah bagi mengelakkan mereka tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Razman menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semanggol juga akan berusaha membantu pelajar terkandas di PPS.

Sementara itu, setakat jam 5 petang, seramai 148 mangsa ditempatkan di PPS SK Parit Haji Aman membabitkan 62 keluarga dari 11 kampung yang terjejas akibat banjir.

Sebahagian penduduk dari 11 kampung ditempatkan di PPS SK Parit Haji Aman selepas rumah mereka dinaiki air.
Sebahagian penduduk dari 11 kampung ditempatkan di PPS SK Parit Haji Aman selepas rumah mereka dinaiki air.