KKM nasihat patuhi SOP di PPS elak penularan Covid-19

Dr Noor Azmi (dua, kiri) bertanyakan sesuatu kepada petugas mengenai operasi Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Azmi (dua, kiri) bertanyakan sesuatu kepada petugas mengenai operasi Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

BAGAN SERAI - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan petugas dan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) supaya sentiasa mengamalkan penjarakkan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ini kerana SOP di PPS telahpun dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), namun pihaknya bimbang perkara itu tidak diambil serius oleh mangsa banjir.

Beliau berkata, kegusaran KKM ketika ini adalah sikap alpa dan ketidakpatuhan SOP dalam kalangan masyarakat termasuk di PPS yang boleh menyebabkan wabak itu menular membabitkan petugas dan mangsa yang di tempatkan di PPS.

“Kita sedia maklum gelombang ketiga yang berlaku ketika ini adalah dari sikap alpa kita sendiri menyebabkan Covid-19 meningkat.

“Justeru, kerajaan amat berharap SOP yang ditetapkan itu dipatuhi petugas dan mangsa-mangsa banjir di PPS bagi mengelakkan wabak ini terus menular,” katanya selepas meninjau dan menyampaikan bantuan kepada 60 buah keluarga membabitkan 142 mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman di sini hari ini.

Dr Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, mengikut SOP, PPS juga perlu menjalani proses disinfeksi terlebih dahulu sebelum menerima kemasukan mangsa banjir di tempat itu.

“PPS juga hendaklah menyediakan peralatan secukupnya seperti pelitup muka, penyukat suhu, cecair pembasmi kuman dan set peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Azmi berkata, saringan telah dijalankan dalam kalangan pekerja warganegara asing yang bekerja di Felda Gunung Besout, Tanjung Malim, susulan penyebaran penyakit filariasis (Untut) yang berlaku di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, hasil dari saringan tersebut, pihak KKM mendapati empat orang pekerja positif filariasis dan kesemua mereka telah menerima rawatan untuk penyakit itu.

Beliau berkata, selain menjalankan ujian saringan ke atas pekerja, pihak KKM juga membuat penilaian risiko dan mendapati kawasan persekitaran di Felda Gunung Besout mempunyai vektor yang boleh menyebarkan penyakit itu.

“KKM memperluaskan saringan penyakit filariasis kepada komuniti yang berada di Gunung Besout bagi memastikan mereka bebas daripada penyakit itu,” katanya. - Bernama