Jual arak: DAP sedang berbincang dengan peniaga

 Lim Lip Eng
Lim Lip Eng
A
A
A

SHAH ALAM - DAP sedang dalam proses perbincangan bersama pihak yang terbabit susulan penguatkuasaan sekatan jualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubatan tradisional Cina.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, partinya akan memberikan kenyataan dalam masa terdekat berhubung langkah terbaru dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.

“Kita akan keluar satu kenyataan bersama semua pemimpin dalam masa dua atau tiga hari ini bagi membolehkan peluang bertemu dengan peniaga terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Kenyataan yang akan dikeluarkan nanti turut mengulas mengenai kenyataan yang dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary yang tidak menolak kemungkinan bahawa kerajaan akan memperluaskan sekatan tersebut di seluruh negara.

Ahmad Marzuk dilaporkan berkata, kerajaan menerima komen positif daripada masyarakat merentasi kaum berhubung langkah itu yang dijangka dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula 1 Oktober tahun depan.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah untuk memohon supaya keputusan itu ditarik balik.

Katanya, DAP Wilayah Persekutuan akan mengumpulkan bantahan daripada pihak berkepentingan yang terjejas dengan peraturan baharu penjualan arak beralkohol tinggi (liquor) oleh DBKL.

Pada 18 November lalu, Sinar Harian melaporkan kedai runcit, serbaneka dan kedai menjual ubat tradisional Cina sekitar Kuala Lumpur tidak dibenarkan menjual minuman alkohol bermula 1 Oktober tahun depan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga jenis premis dilarang jual arak

Larangan kedai runcit jual arak muktamad

Penguatkuasaan itu bakal dilaksanakan susulan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memuktamadkan Garis Panduan (GP) dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras baru-baru ini.

DBKL sebelum ini membekukan permohonan baharu lesen minuman keras berkuat kuasa 2 Jun lalu dan tindakan akan diambil terhadap premis yang menjual minuman keras tanpa lesen.

ARTIKEL BERKAITAN: DBKL beku permohonan baharu lesen minuman keras serta-merta