X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 1,041 kes baharu, tiga kematian hari ini

Dr Noor Hisham
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia hari ini mencatatkan 1,041 kes baharu wabak koronavirus (Covid-19) menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 53,679 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, ia menjadikan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 12,854 kes, manakala jumlah kes pulih hari ini adalah 1,405 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 40,493.

Beliau berkata daripada 1,041 kes baharu hari ini, sebanyak 1,039 kes adalah penularan dalam negara manakala bakinya adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Katanya tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi hari ini adalah Selangor dengan 402 kes (38.6 peratus), diikuti Sabah 346 kes (33.2 peratus) dan Negeri Sembilan 121 kes (11.6 peratus).

“Pelaporan kes positif Covid-19 yang tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi Kluster Teratai iaitu sebanyak 298 kes (74.1 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Bagi Sabah pula, jumlah kes tinggi hari ini disebabkan pelbagai saringan Covid-19 yang giat dijalankan di negeri itu, manakala di Negeri Sembilan adalah kerana pertambahan kes dalam kluster sedia ada.

Menurut kenyataan itu, 21 kes (2.0 peratus) pada hari ini berkaitan kluster penjara melibatkan Kluster Penjara Jalan Harapan (17 kes) (Selangor), Kluster Tembok (3 kes) (Kedah) dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes) (Pulau Pinang).

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 108 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memberitahu terdapat tiga kematian berkaitan Covid-19 melibatkan dua lelaki dan seorang wanita di Sabah, menjadikan jumlah kumulatif kematian dalam negara adalah 332 kes atau 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian itu melibatkan lelaki berumur 62 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis, obesiti dan buah pinggang kronik, manakala seorang lagi lelaki berumur 78 tahun di Hospital Lahad Datu serta mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan terlantar.

Kes kematian wanita itu pula merupakan warga emas berumur 55 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Keningau dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Dr Noor Hisham berkata, tiga kluser baharu dikenal pasti hari ini ialah Kluster Penjara Jalan Harapan, Kluster Kota Kecil dan Kluster Sky Coklat.

Beliau berkata, Kluster Penjara Jalan Harapan melibatkan Penjara Sungai Buloh, Selangor dengan kes-kes bagi kluster ini dikesan positif Covid-19 hasil saringan kemasukan tahanan ke penjara pada 17 November lalu dengan 17 kes telah dikesan positif sehingga hari ini hasil saringan ke atas 113 individu.

“Kluster Kota Kecil pula di daerah Kota Tinggi, Johor melibatkan kes indeks (kes ke- 47390) yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 November lalu.

“Sehingga hari ini, sejumlah 467 individu telah disaring, dengan sembilan dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang,” katanya.

Bagi Kluster Sky Coklat, Dr Noor Hisham menjelaskan ia berlaku di Labuan dengan kes indeks (kes ke-51581) dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 19 November dengan tujuh kes telah dikesan positif wabak itu sehingga ke hari ini dan kesemuanya telah dimasukkan ke Hospital Labuan.

Beliau berkata kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (299 kes), Kluster Hentian (79 kes), dan Kluster Tapak Bina Damanlela (43 kes).

Dua kluster turut dilaporkan tamat pada hari ini iaitu Kluster Bah Kayu dan Kluster Lekir, menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 159 kluster.

Sementara itu di Sepang, tiga lagi penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), telah tampil menyerah diri hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah pulang ialah 43 orang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof menerusi satu kenyataan berkata, 32 lelaki dan 11 wanita yang menyerah diri itu terdiri daripada 14 warga tempatan, 19 warga Indonesia, tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang warga Myanmar, India dan Nepal.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD berkuatkuasa 12 sehingga 25 November ini. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!