Annuar agih kepada penjaja jika menang saman RM20 juta

Annuar (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di bawah program Wilayah Cakna 3.0 serta sumbangan kepada Persatuan Penduduk Kuala Lumpur di Menara DBKL 3 hari ini.
Annuar (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di bawah program Wilayah Cakna 3.0 serta sumbangan kepada Persatuan Penduduk Kuala Lumpur di Menara DBKL 3 hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Jika menang tuntutan saman RM20 juta, satu sen pun saya tak nak ambil tapi saya akan agihkan kepada penjaja di Kuala Lumpur," kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, tuntutan saman ke atas Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan sebuah portal berita atas laporan berunsur fitnah mengenai penjualan 42 keping tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah untuk membersihkan namanya.

"Sekiranya dia tidak mahu menarik balik (tuduhan), dia tak nak minta maaf secara rasmi dan jika dia tidak dapat buktikan saya menjual tanah tersebut, saya tuntut dengan Kok Wai untuk bayar dengan saya RM10 juta. Satu pihak lagi adalah portal berita RM10 juta juga. Jadi ada RM20 juta.

"Saya saman bukan sebab nak duit tapi nak bersihkan nama saya, kita semua mati nak tinggalkan nama yang baik," katanya ketika berucap di program penyampaian sumbangan kepada komuniti Kuala Lumpur di bawah program Wilayah Cakna 3.0 serta sumbangan kepada Persatuan Penduduk Kuala Lumpur di Menara DBKL 3 hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen DAP tersebut mendakwa bahawa 42 plot tanah DBKL terjual dalam tempoh lapan bulan Annuar berkhidmat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan seperti dilaporkan sebuah portal terbabit.

Susulan itu, Annuar menerusi Peguam Tetuan Sharul Hamdi and Haziq menyerah notis Letter of Demand kepada Kok Wai, portal berita berkenaan dan ketua pengarangnya bersabit fitnah.

Annuar berkata, tuduhan tersebut dianggap keterlaluan dan menjejaskan nama baiknya hingga menyebabkannya tidak boleh tidur lena.

"Sejak saya jadi menteri belum ada sekeping tanah pun saya jual. Nak jual tanah perlu banyak prosedur sebelum diangkat ke pihak kementerian.

Artikel Berkaitan:

"Belum tahu cerita betul atau salah saya dah kena balun dulu. Saya malu (sebab) kita ada anak isteri dan keluarga. Kita pula wakil rakyat jika orang dah tak percaya kita, bertanding pilihan raya nanti kalah," katanya.