X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan kaji bina kuarters pekerja asing: Annuar

Annuar
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji langkah mewujudkan kuarters untuk pekerja asing bagi mengelak penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di tapak pembinaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagi tujuan itu, pihaknya sedang berunding dengan beberapa kementerian lain dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"Kadang-kala, ada pekerja asing duduk di bangunan yang baru siap dibina, jadi kita tidak mahu situasi ini berlaku lagi.

"Sebelum ini, berlaku penularan di tapak pembinaan Pavilion Embassy ketika gelombang kedua dan kini berlaku lagi sehingga wujudnya kluster tapak binaan Damanlela," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada persatuan penduduk Kuala Lumpur di bawah program Wilayah Cakna 3.0.

Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Annuar berkata, keadaan itu sekali gus membuktikan tempat tinggal buruh asing yang tidak memenuhi piawaian dan syarat boleh mendatangkan bahaya sehingga membawa kepada penularan wabak tersebut.

"Oleh itu, kita akan lihat apakah kaedah yang boleh dipakai termasuk mengadakan tempat tinggal berpusat bagi pekerja asing ini.

"Mereka (kontraktor) yang menggunakan khidmat pekerja asing perlu memastikan mereka bebas wabak itu sebelum dibawa masuk dan mempunyai tempat tinggal yang diluluskan," katanya.

Sehingga 18 November lalu, sejumlah 3,128 pekerja di kawasan tapak binaan melibatkan Kluster Damanlela di Kuala Lumpur dan Selangor telah disaring dan merekodkan 1,346 kes positif.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, belum terdapat keperluan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana Kementerian Kesihatan sudah menyaring kesemua pekerja asing terbabit manakala dua tapak pembinaan berkaitan telah ditutup. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!