Jual barang hotel elak buang pekerja

Ghazrin (dua dari kiri) menunjukkan tuala, cadar dan bantal yang dijual di pekarangan Ghazrin's Classic Hotel di Taman Dataran Larkin Johor Bahru.
Ghazrin (dua dari kiri) menunjukkan tuala, cadar dan bantal yang dijual di pekarangan Ghazrin's Classic Hotel di Taman Dataran Larkin Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pemilik sebuah hotel di Taman Dataran Larkin di sini sanggup menjual barangan hotel semata-mata mahu menyelamatkan 53 pekerjanya daripada hilang pekerjaan selain bertujuan menampung kos operasi selepas berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengurus Ghazrin's Classic Hotel yang juga anak kepada pemilik hotel terbabit, Ghazrin Hafizi Ghazali, 31, berkata, itu antara usaha yang diambil selepas perniagaan mereka terjejas 90 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau menjelaskan, pengurusan hotel terpaksa menjual tuala, bantal, cadar dan kek coklat secara dalam talian menerusi Facebook dan Twitter serta jualan secara langsung dari pintu ke pintu.

"Hasil jualan ini pihak hotel gunakan untuk bayar gaji pekerja-pekerja kami yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Kami tidak sanggup memberhentikan mereka," katanya ketika ditemui di hotel berkenaan hari ini.

Cerita mengenai Ghazrin's Classic Hotel yang menjual tuala, bantal, cadar dan kek coklat semata-mata untuk membayar gaji pekerjanya tular di media sosial sebelum ini.

Pihak pengurusan hotel tersebut yang diuruskan beliau bersama-sama tiga abang dan kakaknya sejak 2002 sepakat tidak akan menutup hotel berkenaan termasuk mengekalkan pekerja sedia ada.

Ini kerana katanya, majoriti pekerja mereka yang berusia antara 19 hngga 55 tahun dari Sabah, Sarawak, Terengganu, Kedah dan Kelantan mempunyai keluarga yang perlu disara di negeri kelahiran mereka.

Menurut Ghazrin, perniagaan tersebut dimulakan bapanya dan sebelum ini mempunyai enam cawangan iaitu empat di Larkin dan satu lagi di Pengerang, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, dua terpaksa ditutup.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selepas dua cawangan di Larkin ditutup pihak pengurusan tidak membuang semua pekerja sebaliknya menempatkan mereka di empat cawangan sedia ada dan hotel beroperasi dengan simpanan yang ada.

Ketika ini walaupun kadar sewa hotel bajet itu diturunkan daripada RM39 kepada RM18 dan RM28 hingga RM150 sejak PKPB, keadaan masih tidak banyak berubah dan beliau berharap sempadan Malaysia-Singapura dibuka sepenuhnya secepat mungkin.