Pemuda sanggup berhenti kerja demi keluarga

Muhammad Qayyum (dua dari kiri) bersama ibunya,Tun Kadijah ketika menerima kunjungan Jasvir Singh (kanan) dan Roslan (tengah) semalam.
Muhammad Qayyum (dua dari kiri) bersama ibunya,Tun Kadijah ketika menerima kunjungan Jasvir Singh (kanan) dan Roslan (tengah) semalam.
A
A
A

BENTONG - Seorang pemuda sanggup meninggalkan kerjayanya demi menjaga keluarga selepas kehilangan ayahnya yang maut dalam kemalangan jalan raya pada 16 November lalu.

Muhammad Qayyum Abdul Muzir, 25 dari Kampung Baru di sini memilih untuk berhenti kerja dalam bidang logistik di Johor Bharu serta merta selepas kejadian tersebut.

Bapanya, Abdul Muzir Shamsudin, 48 yang juga Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas negeri dalam perjalanan pulang daripada tempat kerja di Janda Baik maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta jenis Nissan Almeera di Kilometer 61 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

Anak sulung dari tujuh beradik itu berkata, keluarganya reda dengan kejadian tersebut dan dia mengambil keputusan nekad kembali ke kampung dan akan berusaha mencari kerja di sekitar Bentong untuk menjaga ibu serta tiga adiknya yang masih bersekolah.

"Kali terakhir saya jumpa ayah pada Jun lalu dan sempat membawa ayah ibu dan adik-adik makan selepas mendapat gaji pertama, selepas itu saya tidak dapat balik kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Bagaimanapun, saya sempat membuat panggilan video dengan ayah dua hari sebelum kejadian dan ayah ada tanya bila saya akan balik, saya kata selepas PKPB tetapi takdir ayah pergi dulu," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh di Kampung Baru di sini semalam.

Hadir sama, Exco Pas Pusat yang juga Ketua Pemuda Pas negeri, Roslan Md. Esa.

Dalam kunjungan itu Jasvir yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan wang tunai kepada isteri Allahyarham, Tun Kadijah Mohd. Sharif,46.

Artikel Berkaitan:

Jasvir Singh berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya berikutan beberapa kes kemalangan telah dicatatkan di lokasi terbabit.