Isu kutipan, agihan royalti perlu diselesai tanpa libat kerajaan

Mohd Roslan
Mohd Roslan
A
A
A

SHAH ALAM - Isu kutipan dan pengagihan royalti melibatkan badan pelesenan tunggal yang menjalankan kutipan royalti, Music Rights Malaysia Berhad (MRM) perlu diselesaikan tanpa melibatkan kerajaan.

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, MRM sebelum ini diperbadankan sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan dan melakukan aktiviti kutipan royalti bagi pihak badan-badan pelesenan sedia ada.

Menurutnya, badan pelesenan itu terdiri daripada Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM), Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad dan Performer’s Rights Interest Society of Malaysia (PRISM).

Bagaimanapun, katanya, MRM yang menerima deklarasi badan pelesenan daripada MyIPO berkuat kuasa 1 Januari 2017 telah dibawa kepada proses penggulungan syarikat secara sukarela oleh ahli-ahli MRM pada Julai lalu selepas PRISM diletakkan di bawah seliaan pelikuidasi Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM).

"Susulan tindakan tersebut, MRM telah hilang kelayakan atau mandat di dalam urus tadbir pelesenan muzik, maka hak pelesenan muzik diserahkan semula kepada ahli-ahli MRM iaitu MACP, PPM dan RPM untuk melaksanakan secara berasingan mengikut kategori masing-masing.

"Secara dasarnya, pihak kerajaan tidak mempunyai punca kuasa di dalam menghalang keputusan yang telah dimuktamadkan dan dizahirkan oleh ahli-ahli MRM sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, isu seterusnya yang mahu dibawa untuk proses penyelesaian adalah isu agihan royalti tertunggak bagi penyanyi dan pemuzik rakaman di bawah tadbir urus RPM dan PRISM (di bawah seliaan JIM).

"JIM kini bekerjasama dengan RPM serta dibantu oleh satu jawatankuasa yang dibentuk atas inisiatif secara sukarela oleh Caretaker Management Committee (CMC) MRM iaitu PRISM Performers Verification & Claims Committee (PPVCC) untuk menyelesaikan isu agihan royalti tertunggak ahli-ahli RPM dan PRISM.

Artikel Berkaitan:

"CMC MRM merupakan jawatankuasa yang terdiri daripada wakil setiap badan pelesenan merangkumi MACP, PPM dan RPM," katanya.

Tegas beliau, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mengawal selia harta intelek di negara ini, MyIPO sentiasa memantau dan mengambil berat mengenai isu kutipan dan pengagihan royalti itu

"Namun MyIPO tidak perlu campur tangan secara langsung kerana ia melibatkan 'private rights' ahli-ahli badan pelesenan," katanya.