Tadbir urus universiti norma baharu

PERSPEKTIF

Salmiwati Othman
Salmiwati Othman
A
A
A

PENULARAN virus pandemik Covid-19 masih belum berakhir. Pelbagai perancangan telah dirangka untuk memutuskan rantaian virus ini termasuk tadbir urus di universiti.

Tadbir urus bermaksud semua proses berkaitan membuat keputusan dan melaksanakan atau tidak melaksanakan keputusan tersebut.

Istilah ini boleh digunakan dalam pelbagai konteks, contohnya tadbir urus korporat, tadbir urus antarabangsa, tadbir urus kebangsaan dan sebagainya.

Tadbir urus baik mempunyai lapan sifat utama iaitu penuh rasa amanah dan bertanggungjawab, telus, sedia memberi maklum balas, adil dan meliputi semua pihak, berkesan dan cekap, mematuhi kedaulatan undang-undang, mudah disertai dengan rela hati dan berteraskan rundingan dan muafakat.

Secara ringkas, setiap universiti telah merangka pelan strategi yang bersesuaian berpandukan kepada pekeliling Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia bagi mendepani cabaran tadbir urus norma baharu.

Pandemik Covid-19 telah mengubah landskap global termasuk pendidikan tinggi. Sehingga artikel ini ditulis, setiap universiti dalam dan luar negara masih mencari pendekatan strategi pembangunan yang bersesuaian bagi memastikan kelangsungan sesebuah universiti.

Salah satu pelan strategi yang menjadi tumpuan adalah pelan pengurusan risiko universiti. Pelbagai inisiatif dirangka di bawah pelan tersebut bagi memastikan operasi universiti berdaya tahan dan urusan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas.

Perubahan tadbir urus terhadap perkhidmatan utama universiti seperti pengurusan akademik terutama aspek pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan, pelajar, sumber manusia, kewangan universiti, perpustakaan, kesihatan, ICT, sukan, masjid serta keselamatan kampus ternyata terkesan.

Artikel Berkaitan:

Setiap garis panduan bagi proses utama penyampaian perkhidmatan berkenaan telah diubahsuai mengikut kesesuaian ketika pandemik melanda. Peraturan, dasar atau amalan terbaik tersebut telah mengalami transformasi kepada sistem elektronik.

Agenda

Perkara berkenaan yang agak sukar dilaksanakan dahulu telah menjadi agenda utama universiti dalam menuju revolusi industri 5.0. Ternyata Covid-19 telah mentransformasikan perkhidmatan universiti ke arah yang lebih baik.

Terkini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) dalam perkhidmatan awam pada Ogos lalu.

Merujuk kepada laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan definisi e-Kerajaan adalah penggunaan internet dan jaringan sedunia untuk penghantaran maklumat dan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Melihat secara positif, pihak universiti perlu memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda negara tersebut.

Pembudayaan inovasi berlandaskan penciptaan sistem elektronik dalam penyampaian perkhidmatan dalam kalangan warga universiti perlu diberikan penekanan. Selain itu, setiap warga universiti perlu menyiapkan diri dalam mendepani transformasi penyampaian perkhidmatan tersebut dengan hati yang terbuka.

Antara cabaran di peringkat tadbir urus universiti dalam menangani pandemik Covid-19 adalah dengan memastikan setiap peraturan yang berkaitan Covid-19 di tempat kerja dipatuhi.

Selain itu, sistem elektronik yang baru diperkenalkan kepada setiap warga perlu diberi penekanan berkaitan penggunaannya secara menyeluruh agar mudah difahami dan digunakan secara rutin.

Bagaimanapun penilaian berterusan terhadap sistem yang beroperasi perlu dilakukan. Ini adalah kerana keperluan dan kehendak pihak pengurusan universiti adalah berubah dari masa ke masa.

Justeru, penilaian berterusan adalah penting untuk memastikan kesinambungan penggunaan dan seterusnya mencapai matlamat yang dikehendaki.

Secara keseluruhan, tadbir urus universiti telah mengalami perubahan yang begitu drastik seiring dengan keperluan negara.

Kecekapan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan perlu dikekalkan walau berada dalam situasi krisis. Oleh itu, perkongsian amalan terbaik, kesepakatan serta sinergi dalam kalangan universiti dapat mengubah keadaan krisis pandemik Covid-19 ini kepada kreativiti yang boleh membanggakan negara.

* Salmiwati Othman ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)