SOP kedai makan: MPJL nafi penguat kuasa berat sebelah

Seorang peniaga meluahkan kekeliruannya berhubung SOP operasi kedai makan. Gambar kiri: Raja Norazli Raja Nordin
Seorang peniaga meluahkan kekeliruannya berhubung SOP operasi kedai makan. Gambar kiri: Raja Norazli Raja Nordin
A
A
A

JEMPOL - Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) menafikan dakwaan wujudnya tindakan berat sebelah oleh pihak penguat kuasa berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kedai makan di daerah ini.

Yang Dipertua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin berkata, dakwaan itu sama sekali tidak berasas.

"Tidak timbul isu berkenaan kerana pemantauan yang dilakukan adalah secara menyeluruh berdasarkan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Setakat ini, empat kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga yang ingkar SOP kerana masih menerima pelanggan selepas jam 10.30 malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Raja Norazli berkata, berhubung penutupan kedai makan pada jam 10 malam, peniaga dibenarkan menjalankan kerja-kerja mengemas sehingga jam 10.30 malam dengan syarat tanpa kehadiran pelanggan.

"Diharap semua pihak dapat memahami situasi ini dan pihak penguatkuasaan tidak berniat untuk mengacau perniagaan mana-mana pihak.

"Tanggungjawab ini merupakan tanggungjawab bersama dan peniaga diminta tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan tanggapan negatif pada masyarakat," katanya.

Katanya, peniaga seharusnya memahami SOP yang dikeluarkan selain tidak menuding jari untuk mencari kesalahan pihak lain.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, seorang peniaga meluahkan kekeliruannya di laman sosial Facebook malam tadi apabila terdapat peniaga kedai makan di Bahau mendapat surat amaran susulan masih membuka perniagaan pada jam 10 malam walaupun ketika itu masing-masing dalam proses mengemas premis selain tidak menerima pelanggan.