Serah diri, bantu siasatan kes lombong emas haram

Pegawai Penguatkuasa Perhutanan memeriksa pasir yang mengandungi emas di rumah seorang lelaki di Taman Tempoyang yang terbabit dengan aktiviti melombong emas secara haram di Hutan Simpan Ulu Jelai. FOTO: PHD Lipis
Pegawai Penguatkuasa Perhutanan memeriksa pasir yang mengandungi emas di rumah seorang lelaki di Taman Tempoyang yang terbabit dengan aktiviti melombong emas secara haram di Hutan Simpan Ulu Jelai. FOTO: PHD Lipis
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki berusia 43 tahun telah menyerah diri di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis bagi membantu siasatan membabitkan kegiatan melombong emas secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis Isnin lalu.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, kerjasama daripada lelaki itu telah membawa pegawai penyiasat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ke rumah sewanya di Taman Tempoyang, Lipis dan menemui bukti kegiatan tersebut dilakukan.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah lelaki terbabit telah menemui pasir yang sudah di proses bagi menghasilkan serbuk emas berkualiti dan peralatan serta bahan kimia yang digunakan untuk memproses emas.

"Siasatan yang dijalankan mendapati lelaki itu mendakwa telah menjual sebanyak 300 hingga 500 gram emas sejak 10 hari lalu pada harga RM200 hingga RM250 segram

"Malah, kegiatannya juga telah dibantu dua warga Myanmar berumur 26 dan 30 tahun yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dikatakan menjalankan kegiatan perlombongan haram sejak awal tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, kegiatan haram yang dilakukan suspek tertumpu di sepanjang Sungai Kasai dalam Kompatmen 128, 110 dan 111 Hutan Simpan Ulu Jelai.

"Saya difahamkan kegiatan berskala sederhana itu menggunakan kaedah palong, pam air dan jentera," katanya.

Dalam pada itu, Nor Shahrini berkata, lelaki terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 84 (1) memiliki hasil hutan tanpa kebenaran, Seksyen 109 Kanun Prosedur Jenayah (Pengsuhabatan), Seksyen 32(1) dan Seksyen 81(1) (g) Akta Perhutanan Negara 1984.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pihak perhutanan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan apa juga kesalahan hutan, seperti melombong emas dan memindahkan balak tanpa permit.

"Mereka yang menceroboh hutan simpan turut didakwa kerana ia melibatkan kerugian besar pada kerajaan negeri,jika kegiatan berkenaan terus berlaku," katanya.