Saya nak mati dalam UMNO: Annuar

Annuar Musa.
Annuar Musa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Kalau saya mati dalam UMNO Alhamdulillah. Selain saya nak mati dalam Islam, saya memang nak mati dalam UMNO," kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan Annuar sudah mati dalam perjuangan UMNO tetapi tidak mahu 'lompat' ke Perikatan Nasional (PN).

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau menyerahkan soal hidup matinya mengikut ketentuan Ilahi.

"Saya lihat ramai rakan seperjuangan yang lama berjuang dalam UMNO tapi mati dalam parti lain sebab mati ini ketentuan Ilahi.

"Jika dia (Nur Jazlan) kata saya mati dalam UMNO, kira ok lah. No problem, Alhamdulillah. Yang penting mati dalam keadaan beriman, itu saja," katanya ringkas.

Annuar ditemui pada program penyampaian sumbangan kepada komuniti Kuala Lumpur di bawah program Wilayah Cakna 3.0 serta sumbangan kepada Persatuan Penduduk Kuala Lumlur di Menara DBKL 3 hari ini.

Terdahulu, Nur Jazlan berkata Annuar telah mati dalam UMNO sebagai respon dengan kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung BN itu ketika sesi wawancara bersama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan anjuran UMNO Online baru-baru.

Menerusi wawancara itu, Annuar berkata UMNO perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan diterima parti itu dalam Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan: