PCS sokong segala usaha perangi Covid-19: Anifah

Anifah Aman
Anifah Aman
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Cinta Sabah (PCS) akan menyokong segala usaha memerangi koronavirus (Covid-19) termasuk keputusan pengisytiharan proklamasi darurat di Parlimen Batu Sapi oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Rabu lalu.

Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, PCS menjunjung kasih dan mengalu-alukan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenan supaya pengisytiharan proklamasi darurat itu dilaksanakan sekali gus membatalkan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan pada 5 Disember depan.

Menurutnya, titah Yang di-Pertuan Agong jelas menunjukkan keprihatinan dan kasih sayang terhadap rakyat di dalam mengharungi kehidupan khususnya di musim penularan Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

"PCS menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda dan akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19 serta berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini.

"PCS berharap agar kerajaan negeri dan Persekutuan terus mengambil langkah-langkah perlu bagi menjamin rakyat di Parlimen Batu Sapi terus dibela agar mereka dapat menjalani kehidupan sebaik mungkin sepanjang masa darurat diadakan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar turut meminta rakyat sentiasa patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan rangkaian wabak itu.

"PCS menyeru seluruh rakyat di negara ini supaya mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjaga kesihatan diri dan keluarga dan seterusnya dapat memutuskan rangkaian penularan wabak ini keseluruhannya," katanya.

Yang di-Pertuan Agong pada Rabu lalu menerusi kenyataan Istana Negara mengisytiharkan proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan: