X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 29 Januari 2022

FAMA sasar buka 3 pasar tani dalam masjid

Ishak (kanan) dan Ahmad ketika melancarkan pasar tani dalam masjid di Masjid Bandar Perda semalam.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk membuka enam lagi pasar tani termasuk tiga di dalam kawasan masjid di Pulau Pinang pada tahun ini.

Pengerusinya, Sr Ishak Ismail berkata, konsep pasar dalam masjid akan mempelbagaikan lagi peranan rumah ibadat berkenaan yang sebelum ini banyak tertumpu kepada aktiviti keagamaan semata-mata.

Menurutnya, apabila peranan masjid diperluaskan, secara tidak langsung ia mampu menarik lebih ramai masyarakat untuk mengimarahkan rumah ALLAH itu.

“Dengan cara ini, kita dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat selaras dengan tuntutan agama Islam.

"Bukan sahaja kita dapat mengimarahkan masjid malah kita memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan pelbagai barangan jualan di sini dengan harga yang lebih murah daripada pasaran luar," katanya ketika ditemui selepas melancarkan pasar tani dan Agrobazaar K-Shoppe @ Masjid Bandar Perda di sini pagi semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dan Pengarah FAMA negeri, Habibah Sulaiman.

Selain Masjid Bandar Perda, pasar tani dalam masjid sebelum ini dibuka di Masjid Bandar Baru Air Itam.

Tiga masjid yang bakal menjadi sasaran untuk dibuka pasar tani pada tahun ini iaitu Masjid Sri Serdang, Kepala Batas, Masjid Sungai Jawi, Seberang Perai Selatan dan Masjid Maqbul di Teluk Kumbar.

Selain itu, FAMA juga turut bercadang membuka pasar tani di kawasan Simpang Taman Guar Perahu, Taman Bertam Putra, Flat Taman Mutiara dan di kawasan Sungai Dua Utama.

Ishak berkata, setakat ini, sebanyak 746 tapak pasar tani telah beroperasi di seluruh negara dan melibatkan 30,793 peniaga.

Katanya, pada tahun 2018 keseluruhan pasar tani di negara ini memperoleh pendapatan sebanyak RM852 juta dan di Pulau Pinang sahaja meraih pendapatan sebanyak RM11.9 juta pada tahun lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!