X

Kindly register in order to view this article
!

Jendela perkasa ekonomi, pendidikan

SKMM
A
A

PUTARJAYA – Kelancaran dan kesalinghubungan digital inklusif adalah asas penting dalam Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dalam usaha memacu ekonomi digital negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, Jendela bertindak sebagai asas kepada peralihan infrastruktur digital berikutan keperluan menangani normal baharu susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Katanya, ia bermatlamat menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi pada kadar berpatutan kepada rakyat.

“Ia akan memberi impak kepada pelbagai pihak, termasuk industri tradisional untuk mengadaptasi penggunaan teknologi selain meningkatkan kecekapan operasi mereka (industri tradisional).

“Aktiviti ekonomi digital seperti e-dagang dan teknologi kewangan akan bertambah pesat. Perniagaan kini boleh menghubungi lebih ramai pelanggan di kawasan yang belum pernah diterajui sebelum ini.

“Usahawan kecil pula boleh memperluas perniagaan kerana berupaya memulakan aktiviti pemasaran digital, selain menjalankan transaksi secara digital,” kata SKMM dalam kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu, bagi generasi generasi masa depan, kerajaan komited meletakkan aspek pendidikan sebagai pelaburan paling penting bagi memastikan kualiti hidup lebih baik dan merapatkan jurang digital.

Katanya, sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi memastikan kesalinghubungan 430 sekolah di seluruh negara dalam Belanjawan 2021 dengan proses fibrasi di sekolah turut diberi perhatian untuk memastikan proses ke arah digitalisasi tersedia kepada pelajar.

“Peruntukan RM7.4 bilion diberi bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar, terutama di luar bandar, selain pihak industri akan membuat pelaburan setanding atau lebih untuk kawasan bandar dan pinggir bandar antara 2021 hingga 2022.

“Program Jaringan Prihatin bernilai RM1.5 bilion akan dimanfaatkan kira-kira 8 juta rakyat golongan B40 dengan ia boleh digunakan bagi mendapatkan perkhidmatan dan memperluas jaringan internet.

“Mereka akan menerima RM180 (RM15 sebulan) seorang dan boleh diguna untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung kos membeli telefon bimbit baharu,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi memastikan keperluan penduduk setempat dan golongan pelajar mendapatkan perkhidmatan internet, proses pemerkasaan Pusat Internet Komuniti (PIK) akan dilaksana di seluruh negara.

“Melalui proses ini, masalah kekurangan alat peranti, kemudahan internet atau keselamatan pelajar untuk belajar secara dalam talian dapat ditangani.

“Penggunaan IPK juga akan dipertingkat melalui pertambahan kandungan atau kursus, bantuan dalam aspek pembungkusan dan pemasaran produk kepada golongan usahawan yang dilaksanakan tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, mengenai langkah memperkukuh infrastruktur industri katanya, peruntukan RM42 juta diberi bagi penyediaan rangkaian gentian optik di 25 kawasan perindustrian untuk lebih maju dalam digitalisasi perniagaan.

Ujarnya, Penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan revolusi Perindustrian Keempat diumumkan Perdana Menteri juga menunjukkan kerajaan serius memastikan pembangunan ekonomi digital bersifat inklusif dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Dengan adanya kesalinghubungan digital yang inklusif dan mantap melalui pelbagai usaha kerajaan, ia akan dapat menarik lebih ramai pelabur luar dan dalam negara, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!