Semangat 'Semenyih' kukuh hubungan UMNO, Pas

Mohd Azmil (dua dari kiri) menyerahkan borang menyertai UMNO kepada Noh (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Covid-19 di Kampung Hang Tuah hari ini.
Mohd Azmil (dua dari kiri) menyerahkan borang menyertai UMNO kepada Noh (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Covid-19 di Kampung Hang Tuah hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO Selangor mahu semangat 'Semenyih' terus diperkukuhkan lagi antara parti itu dan Pas menerusi kerjasama Muafakat Nasional (MN) di negeri ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau yakin jika semangat itu terus dipertingkatkan maka tidak mustahil kedua-dua parti itu mampu memperoleh kemenangan seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih.

"Siapa sangka kalau dikira undi UMNO dan Pas pada PRU-14 kita masih kalah, tetapi (PRK DUN Semenyih) kita kembali menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Covid-19 di Kampung Hang Tuah di sini hari ini.

Terdahulu, pada majlis sama, bekas Ketua Penaja Bersatu Bahagian Tanjong Karang, Mohd Azmil Misman dan isterinya yang juga, Naib Ketua Srikandi Bahagian Tanjong Karang, Hanisa Rojil menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Noh.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, beliau mahu langkah Semenyih itu diterapkan kepada semua pengundi di negeri ini.

"Di Selangor, kalau kita hendak harapkan undi Melayu memang sukar hendak menang. Oleh sebab itulah undi bukan Melayu juga kita perlukan," katanya.

Beliau memberitahu, UMNO dan Pas perlu meneruskan muafakat sedia ada bagi mengelakkan mereka bertembung sesama sendiri seperti yang berlaku pada PRU-14 lalu.

Artikel Berkaitan:

"Asasnya undi Melayu jangan pecah tiga, jika ini berlaku kita takut sejarah PRU-14 berulang apabila UMNO hanya menang empat dan Pas menang satu kerusi DUN (Selangor), manakala Parlimen pula UMNO menang dua dan Pas tidak memenangi kerusi (Parlimen) di negeri ini," katanya.