APM sedia hadapi banjir

Roslan (tengah) bersama APM Perak dalam lawatan kerjanya ke APM Perak dan Taklimat Persediaan Banjir di APM Daerah Taiping hari ini.
Roslan (tengah) bersama APM Perak dalam lawatan kerjanya ke APM Perak dan Taklimat Persediaan Banjir di APM Daerah Taiping hari ini.
A
A
A

TAIPING - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah bersiap sedia dengan kekuatan aset dan anggota bagi menghadapi Monsun Timur Laut serta kemungkinan banjir di beberapa negeri.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata, aset darat membabitkan lori, kenderaan pacuan empat roda dan ambulan serta 900 bot kini bersedia digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.

“Aset APM setakat ini tiada masalah kerana dua tahun kebelakangan ini kita ada banyak perolehan bot. Bot mencukupi dan kita mempunyai 900 bot pelbagai jenis di seluruh negara. Kegunaannya pula kita lihat kepada keadaan banjir kalau dalam bandar kita pakai bot kecil.

“Dari segi lori pula kenderaan berat boleh harungi air sedalam 1.2 hingga 1.5 meter. Cuma kita harap pada masa depan kita akan buat perolehan untuk lori 3 tan pula. Kalau ada pelbagai jenis kenderaan kita boleh guna ikut keadaan,” katanya pada sidang akhbar ketika lawatan kerjanya ke APM Perak dan Taklimat Persediaan Banjir di APM Daerah Taiping di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, APM selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah telah menyelaras penugasan operasi banjir selain mementingkan prosedur operasi standard (SOP) khususnya di pusat pemindahan sementara (PPS).

Kekuatan aset APM Perak sedia digerakkan dalam persiapan APM menghadapi banjir.
Kekuatan aset APM Perak sedia digerakkan dalam persiapan APM menghadapi banjir.

"Persediaan awal sudah dilaksanakan dengan melakukan latihan simulasi mengendalikan bot. Semua anggota termasuk 20,000 sukarelawan yang aktif dilihat mencukupi dalam mengendalikan penugasan kes-kes kecemasan dan pengoperasian bencana.

"SOP yang dipraktikkan kini turut dipakai di PPS dengan pemakaian pelitup muka, penjarakkan fizikal dan keadaan mangsa jika bergejala, pihak Kementerian Kesihatan sentiasa bersedia atau mereka akan diasingkan daripada mangsa banjir lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Roslan berkata, pihaknya turut menyediakan pelitup muka dan pelindung muka sebagai salah satu usaha mengurangkan risiko jangkitan dalam operasi memindahkan mangsa banjir ke PPS terlibat.

Pada program itu, katanya, APM Perak turut menerima sebuah dron jenis DJI Mavic2 Enterprise yang akan digunakan dalam membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Perak mempunyai dua set dron yang membantu operasi dan meninjau lokasi bencana malah, penggunaan dron ini juga boleh menghantar pesanan suara.

"Pulau Pinang mempunyai satu dron manakala negeri yang lain, ada pegawai yang membeli sendiri seperti Sarawak dan Kedah. Dron boleh digunakan secara efektif dalam tugasan APM," katanya.